Muqadimah

Selasa, 30 Julai 2013

TEORI SENI - PART 4 ( TEORI PENDEKATAN KOGNITIF-PERKEMBANGAN )


4.0 TEORI PENDEKATAN KOGNITIF-PERKEMBANGAN
Pandangan ahli teori kognitif banyak berkisar kepada perkembangan pengetahuan-kendiri. Ahli psikologi yang terkenal dalam bidang ini ialah Robert Selman (1980). Selman telah menjalankan eksperimen dengan mengkaji kanak-kanak. Dalam kajiannya, Robert Selman meminta kanak-kanak menyelesaikan masalah atau membuat hipotesis berdasarkan sebuah cerita yang dipertontonkan kepada mereka. Dalam cerita ini watak utama mempunyai konflik.
Cara kanak-kanak menaakul telah memberi ilham kepada Selman. Akhirnya berdasarkan kajian ini, lima tahap model pengetahuan kendiri telah dibina oleh Selman. Tahap-tahap ini akan dilalui satu persatu oleh semua kanak-kanak.


Tahap-tahap tersebut adalah seperti berikut:


1. Tahap 0 (bayi):

Pada peringkat ini bayi dapat memahami kewujudan fizikal mereka tetapi tidak tahu tentang kewujudan psikologi misalnya bayi tidak dapat membezakan antara tingkah laku fizikal seperti menangis dengan perasaan atau emosi yang mengiringinya iaitu sedih.


2. Tahap 1 (awal kanak-kanak):

Pada usia ini kanak-kanak percaya bahawa pemikiran dapat mengawal tingkah laku. Mereka percaya bahawa perasaan dan fikiran seseorang dapat digambarkan oleh tingkah laku dan penampilan. Kanak-kanak hanya dapat memahami seseorang melalui pememerhatian tingkah laku dan percakapan seseorang misalnya, seseorang sedang tersenyum, maka sudah tentu ia berasa gembira.


3. Tahap 2 (kanak-kanak pertengahan):

Pada usia ini mereka mula memahami perbezaan, memahami yang tersurat dan tersirat contohnya seseorang yang menitis air mata tidak bermakna ia sakit, mungkin kerana terlalu gembira dan seseorang yang tersenyum tidak bermaksud dia gembira mungkin senyuman itu hanya dibuat-buat.


4. Tahap 3 (pra remaja):

Pada peringkat ini kanak-kanak yang sudah menjadi remaja tahu bahawa kendiri merupakan satu komponen personaliti yang stabil.


5. Tahap 4 (remaja):

Setelah menjadi remaja, mereka memahami bahawa kendiri tidaklah dapat difahami secara total kerana kadang-kadang sesetengah aspek personaliti berada di paras tidak sedar.

 

Rajah 11 : lima tahap model pengetahuan-kendiri Selman


4.1 MENGAPLIKASI TEORI PENDEKATAN KOGNITIF-PERKEMBANGAN KE DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI.

 
Ciri-ciri kognitivisme dipraktikan dalam subjek Dunia Seni Visual contohnya dalam Persepsi Estetik. Persepsi Estetik bertujuan untuk menjadikan murid yang mampu mengguna dan memahami bahasa seni visual lalu berkemampuan membuat persepsi terhadap alam ciptaan tuhan, objek ciptaan manusia dan hasil karya seni. Persepsi estetik ini terdapat dalam Standard kandungan 1.

 
Dalam teori ini, Robert Selman lebih mengutamakan konsep penaakulan. Konsep penaakulan juga  diaplikasi dalam matapelajaran Dunia Seni Visual. Apakah Menaakul? Terdapat empat kaedah penaakulan iaitu;

1. critical thinking atau pemikiran kritikal
2. higher-order thinking atau pemikiran aras tinggi
3. logical reasoning atau penaakulan secara logic s
4. imply reasoning atau penaakulan mudah

 

Rajah 12: Konsep Penaakulan

 

Penaakulan sering digunakan untuk menyelesaikan masalah. Ianya merujuk kepada kebolehan pemerolehan pengetahuan individu. Individu perlu berfikir secara mendalam, terperinci, kreatif, kritis agar kemahiran kognitif mereka meningkat dan individu yang mahir menaakul mampu menjadikan diri mereka warga yang mampu menghadapi cabaran mendatang.

 

Untuk melahirkan pelajar yang mampu menaakul dengan baik, kreativiti guru dalam memberi aktiviti yang mencabar kemampuan murid sangat perlu seperti menggabungkan pelbagai kecerdasan. Kemampuan berfikir secara kritikal seperti membuat eksperimen, membuat infrens dan mengkaji aspek permasaalahan dari semua keadaan perlu untuk menjadikan pelajar yang berfikiran global.

 

Individu mempunyai potensi ke arah pemikiran global dan kebolehan menaakul adalah satu asas dalam mengembangkan potensi tersebut. Bagi melahirkan pelajar yang berkeyakinan tinggi dan berdaya saing serta mampu mengeneralisasikan idea sendiri, pelajar perlu berkembang dan merubah diri dari takuk lama. Guru memainkan peranan dalam memberi aktiviti-aktiviti yang melibatkan kemahiran menaakul.


Membuat Penaakulan - Definisi

Membuat penaakulan adalah kebolehan atau kemampuan untuk membuat pertimbangan secara rasional, adil, logik, saksama dan meningkatkan keberkesanan untuk digunakan ketika hendak membuat analisis, sintesis,  keputusan, interpretasi, penilaian, menyelesaikan masalah, pengitlakan, kesimpulan dan sebagainya.

Kebolehan membuat penaakulan akan memudahkan kemampuan kognitif untuk memahami dan menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Rajah 13 : Penaakulan Deduktif dan Induktif

 
Penaakulan Induktif

Penaakulan induktif boleh dilakukan dengan cara meneliti pelbagai contoh atau keadaan yang khusus, memerhatikan ciri yang sepunya dan membuat refleksi atau menyebut sesuatu secara menyeluruh.

 
Penaakulan secara Deduktif

Penaakulan secara deduktif pula boleh dilakukan dengan cara meneliti keadaan secara umum kemudian cuba dapatkan contoh yang terperinci dan spesifik.

Jumaat, 26 Julai 2013

TEORI SENI - PART 3 ( KECERDASAN PELBAGAI)





3.0 TEORI KECERDASAN PELBAGAI


 
Untuk seseorang individu belajar, terdapat hingga lapan kecenderungan potensi dalam teori kecerdasan pelbagai yang dijelaskan oleh Haward Gardner. Untuk membimbing pelajar sebagai mentee, guru disarankan mengenalpasti kecerdasan pelbagai diri sendiri terlebih dahulu kerana guru adalah fasilitator dan juga mentor.

Di dalam buku yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum pada tahun 2001 mengenai Modul Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai dalam Pengajaran dan Pembelajaran menkategorikan Kecerdasan Pelbagai kepada lapan jenis iaitu;

1. Kecerdasan Verbal-Linguistik
2. Kecerdasan Interpersonal
3. Kecerdasan Intrapersonal
4. Kecerdasan Logic-Matematik
5. Kecerdasan Visual-Ruang
6. Kecerdasan Kinestetik
7. Kecerdasan Muzik
8. Kecerdasan Naturalis
 
1. Kecerdasan Verbal-Linguistik
 
Ciri-ciri: Kemampuan berkata-kata secara bermakna dalam pertuturan dan penulisan, kebolehan mengingati info atau maklumat, serta mampu berkomunikasi dalam bahasa tersebut.
 
 
2. Kecerdasan Interpersonal
Ciri-ciri: kemampuan untuk memahami emosi samaada simpati atau empati, motivasi, tabiat serta kemahuan orang lain. Kecerdasan interpersonal juga adalah kemahiran bertindak yang mampu meninggalkan kesan kepada individu lain secara bukan teoretikal seperti memberi perangsang kepada murid menyertai sesuatu aktiviti.
 
3. Kecerdasan Intrapersonal
Ciri-ciri: Kecerdasan intrapersonal dapat membolehkan individu mengawal emosi diri serta mampu membuat refleksi kendiri yang tinggi. Seseorang yang mempunyai kecerdasan pelbagai berkebolehan memahami diri sendiri dari segi kelemahan, kekuatan, kehendak dan hasrat.
 
4. Kecerdasan Logik-Matematik
 
Ciri-ciri: Individu yang bijak berhujah, dapat menggunakan nombor secara berkesan, prinsip sebab akibat serta kebolehan menjangka, membuat keputusan yang adil, memahami kelompok nombor asas, dan cekap menggunakan teknologi dalam penyelesaian masalah adalah ciri-ciri kecerdasan logic-matematik.
 
 
5. Kecerdasan Visual-Ruang
 
Ciri-ciri: Seseorang individu yang berkebolehan memahami prinsip rekaan dan unsur seni yang terdapat dalam bahasa seni contohnya memahami bentuk, garisan, warna dan sebagainya.
6. Kecerdasan Kinestetik
 
Ciri-ciri: Seseorang individu yang berkemampuan menggunakan bahasa badan bagi melontarkan ideanya, emosinya dan menyelesaikan masalah. Kecerdasan kinestetik termasuklah kemampuan melakukan koordinasi, keseimbangan, refleksibiliti dan kepantasan.
 
7. Kecerdasan Muzik
 
Ciri-ciri: Individu yang mempunyai kebolehan dalam mengesan melodi lagu dan irama, mengenal lagu mudah dan mampu membanding dan mengedit irama serta tempo dalam melodi mudah.
 
8. Kecerdasan Naturalis
 
Ciri-ciri: Individu yang berkebolehan mengenali dan mengategorikan flora dan fauna, galian, hasil bumi serta berkebolehan mengenali artifak budaya dari pelbagai segi seperti pakaian, makanan dan seni.
 
 

Rasional Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai




3.1 MENGAPLIKASI TEORI KECERDASAN PELBAGAI KE DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI


Langkah mengenal pasti cara belajar dan merancang intervensi  bagi memudahkan proses pembelajaran dapat membantu murid belajar dengan efektif dan berkesan sesuai dengan kemampuan dan minat mereka. Keseronokan ketika belajar akan memudahkan murid untuk memahami ilmu.

Semasa mengajar matapelajaran Dunia Seni Visual atau Pendidikan Seni Visual, guru boleh mengubah tajuk aktiviti yang sesuai dengan kebolehan murid. Contohnya bidang menggambar, aktiviti lukisan, tajuk ‘kereta impian’, guru boleh membawa murid ke kawasan parkir kereta dan menjalankan aktiviti di situ. Murid melukis benda maujud. Aktiviti ini akan menarik minat murid. Semasa aktiviti dijalankan, pelbagai teori kecerdasan akan diaplikasikan.

Peranan guru sangat penting dalam mengembangkan lapan jenis kecerdasan ini iaitu melalui pendidikan, pengalaman dan persekitaran. Kecerdasan tidak boleh dinilai secara berasingan misalnya kecerdasan visua-ruang boleh disepadukan dengan kecerdasan logic-matematik. Semua ujian kecerdasan mesti berupaya mengukur semua jenis kecerdasan manusia seperti yang disarankan oleh Abd. Rahim (2001), Campbell dan Amstrong (1994) dan Gardner (1985).


Rumusan

Kecerdasan manusia mempunyai prinsip-prinsip tertentu dan ianya ditegaskan dalam teori kecerdasan pelbagai. Ini kerana kerana setiap individu mempunyai semua lapan jenis kecerdasan yang dibincangkan di atas. Manusia berbeza darjah dan tahap kecerdasannya dan setiap manusia mempunyai satu atau dua tahap kecrdasan yang lebih tinggi daripada lapan tahap kecerdasan.
Maklumat potensi individu yang diperolehi melalui kecerdasan pelbagai dapat membantu guru mengagihkan tugasan atau aktiviti yang bersesuaian dengan keupayaan pelajar dan dapat mewujudkan keseronokan belajar apabila pelajar dapat menerima apa yang diberi oleh guru. Perkara penting dalam teori ini ini ialah untuk melahirkan pelajar yang seimbang dan harmoni dari aspek JERIS berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan adalah menjadi matlamat utama pendidikan di negara kita . Guru-guru harus mampu mengaplikasikan dan menggabungkan kecerdasan pelbagai dengan elemen lain seperti nilai-nilai baik, ilmu pengetahuan  untuk meningkatkan Kecerdasan Intelek, Emosi dan Spirutural (KIES).

 

TEORI SENI - PART 2 (TEORI BEHAVIORISME)


2.0 TEORI BEHAVIORISME
 
       
 
       Teori Behaviorisme ini dipelopori oleh B.F Skinner (gambar)  berkaitan dengan proses pembelajaran. Seseorang akan sentiasa mengambil tindakan sengaja dan beroperasi dalam proses pembelajaran kerana tingkah laku adalah perkara yang dipelajari dan operasi ini dipengaruhi oleh kesan positif ataupun negatif. Teori behaviorisme dikaitkan dengan rangsangan dan kelaziman iaitu perkara yang dipelajari ataupun semulajadi. Kebanyakan tingkah laku berlaku secara spontan dan dengan sengaja bertindak balas pada persekitaran dan ianya dinamakan tingkah laku operan. Tingkahlaku ini bergantung pada peneguhan yang ada selepasnya dan ia bertindak ke atas persekitaran dan mengubahnya.



Eksperimen Tingkah Laku Operan
 
 
 Berdasarkan ujikaji tersebut  Skinner  menyatakan sifat baik atau positif dan sifat tidak baik atau negatif berlaku dalam peneguhan contohnya peneguhan positif adalah seperti kata-kata berunsur pujian dan motivasi, memberi imbalan dan sebagainya. Memberi pujian akan memotivasi dan mendorong seseorang pelajar itu memberikan hasil yang terbaik di hari muka. Peneguhan negatif tidak boleh disamakan dengan unsur denda atau hukuman.
 

2.1 MENGAPLIKASI TEORI BEHAVIORISME KE DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI.

              
Terdapat beberapa perkembangan dalam teori behaviorisme yang dikemukan oleh Skinner sesuai diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual iaitu:
 



1. Jadual Jeda Masa Yang Tetap
Peneguhan diberi pada masa yang ditetapkan dan penghargaan seperti memberi pujian ataupun hadiah kepada pelajar yang berjaya menghasilkan karya seni yang baik setiap kali berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran akan membentuk tingkah laku positif dikalangan pelajar.
 
2. Peneguhan Berjadual Mengikut Nisbah
 
Pengukuhan hanya dapat diberi selepas beberapa gerak balas dilakukan dan pengukuhan di sini bergantung pada kekerapan pelajar memberi tindak balas misalnya murid melukis melalui peniruan atau proses ‘imitasi’ contohnya murid akan melukis objek yang sama secara kerap atau berulang-ulang sehingga ia terbiasa dan dapat melukis tanpa perlu lagi melihat objek tersebut.
 
3. Jadual masa tidak tetap
Kemahiran perlu dipelajari dan proses meningkatkan kemahiran perlu dilakukan secara berulang-ulang contohnya, murid yang tidak pandai melukis dan mewarna perlu mempelajari kemahiran secara berperingkat-peringkat dan secara kerap atau berulang-ulang.
 
4. Jadual nisbah tidak tetap
 
Apabila seseorang itu sering membuat latihan kemahiran seperti menconteng, melukis dan mewarna maka kemahirannya akan meningkat . Pengulangan hasil seni yang sama hanyalah dianggap sebagai kraf misalnya dalam seni kraf tradisional seperti batik, anyaman, tekat, tembikar dan sebagainya masih menggunakan motif, bentuk dan bahan yang sama walaupun sudah lama berkembang.
 
 
               Oleh itu, perkembangan teori behaviorisme memerlukan peneguhan daripada orang lain tetapi pada situasi dan keadaan yang berbeza dan juga guru perlu bijak memberi peneguhan kepada pelajar supaya mendapat hasil yang berkualiti.

Khamis, 25 Julai 2013

TEORI SENI - PART 1 (TEORI KONSTRUKTIVISME)


PENGENALAN

Teori bertujuan untuk menjelaskan satu sistem idea, terutama berdasarkan idea-idea umum yang bebas. Teori bererti model atau kerangka fikiran yang menerangkan fenomenon alami dan sosial tertentu. Teori boleh digeneralisasikan, dipertingkatkan, dan dievolusi secara ilmiah berdasarkan prinsip ilmu. Teori merupakan suatu pendapat yang telah sah kebenarannya. Teori dibangunkan oleh manusia untuk menerangkan sesuatu perkara, meramal, dan menguasai fenomenon tertentu contohnya seperti kemampuan kanak-kanak berfikir, tingkahlaku dan sebagainya. Kebiasaannya teori dipandang sebagai suatu model atas keterangan misalnya tikus menekan alat penekan sekiranya lapar seperti eksperimen tingkahlaku operan Skinner. Teori membentuk kesimpulan umum atas banyak pemerhatian dan terdiri daripada kumpulan idea yang saling berkaitan dan koheren. Kebiasaannya teori yang wujud dapat membantu dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran. 

Tujuh teori yang akan saya bincangkan untuk diaplikasikan ke dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual ialah Teori Konstruktivisme, Teori Behaviorisme, Teori Kecerdasan Pelbagai, Teori Pendekatan Kognitif-Perkembangan, Teori Pembelajaran / Persekitaran, Teori Sosio-Konstruktivisme,  dan Teori Personaliti. Saya akan mengkategorikan kepada beberapa bahagiann iaitu bermula dari Part 1 sehingga Part 7. Saya akan postkan entri ini dari semasa ke semasa dalam tempoh yang terdekat. Semoga dapat memberi manfaat kepada anda semua.

***Ilmu adalah untuk dipindahkan atau disebar-sebarkan maka berdasarkan ilmu yang saya perolehi ini maka saya izinkan anda semua memanfaatkannya. Semoga Allah meredhai kita semua.
 
 


1.0 TEORI KONSTRUKTIVISME


Bruning, Schraw, & Ronning, 1995 menyatakan bagaimana teori ini mampu melahirkan insan yang mampu merangka dan membentuk sesuatu pengetahuan yang difahami dan dipelajari oleh mereka manakala Driver, Squires, Ruswork &Wood, 1994, pula berkata konsep utama konstruktivisme ialah pelajar membina pengetahuan danbukan hanya  disebarkan oleh individu.

Pembelajaran Konstruktivisme boleh dibezakan daripada teori pembelajaran yang lain berdasarkan prinsip berikut.



1. Dalam diri pelajar sudah terbentuk pengetahuan dan kepercayaan:

Bukannya menganggap pelajar sebagai tin kosong, teori alam dan pembelajaran Konstruktivisme menganggap pelajar membawa pengalaman dan kefahaman ke bilik darjah dan kesannya, mereka bertemu dengan maklumat baru di luar konteks, tetapi menggunakan apa yang mereka tahu untuk mengasimilasikan maklumat ini, dan menyesuaikan apa yang mereka sedia tahu kepada penemuan baru. Proses pemerolehan pengetahuan adalah interaktif misalnya, murid mencampur warna asas dengan warna asas akan mendapat warna sekunder.


2. Pelajar meletakkan makna peribadi dalam pengalaman mereka:

Nilai dan kepercayaan mereka yang sedia ada membantu pelajar menginterpretasi dan meletakkan nama seperti interaksi mereka dengan pelajar lain. Makna dibentuk oleh pengalaman lampau pelajar. Dengan itu dua orang pelajar yang membaca puisi yang sama akan menginterpretasikan makna puisi dari segi luarannya dahulu menurut skema masing-masing dan melalui interaksi mereka dengan pelajar lain.


3. Aktiviti pembelajaran membolehkan pelajar mendapat pengalaman, pengetahuan dan kepercayaan:

Pendekatan Konstruktivisme terhadap pembelajaran membolehkan pelajar menggunakan apa yang mereka tahu untuk menginterpretasikan maklumat baru dan membentuk pengetahuan baru. Soalan yang dikemukakan kepada pelajar sepatutnya mendorong penulisan mereka berkaitan apa yang mereka tahu dan percaya. Apabila perkaitan ini dibuat, pelajar mengeluarkan apa yang mereka tahu dan membentuknya semula menjadi suatu yang baru dan memberi makna yang baru.


4. Pembelajaran pelajar secara individu dan kolektif dipengaruhi oleh budaya, bangsa, status ekonomi:

Identiti dan asal usul pelajar mempengaruhi pengalaman mereka di dalam dan di luar sekolah dan pelajar perlu dibantu untuk memahami bagaimana asal usul dan status ekonomi mereka mempengaruhi mereka di sekolah dan di luar. Kemiskinan dan pelajar minoriti kerap dianggap sebagai tidak menyumbang kepada seni, sastera, sejarah atau ekonomi masyarakat mereka kerana kebolehan dan pengalaman mereka tidak digunakan dalam kurikulum rasmi.



1.1 MENGAPLIKASI TEORI KONSTRUKTIVISME KE DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI.


 

Dalam Pendidikan Seni Visual, pelajar sememangnya digalakkan sentiasa mengembangkan idea utama kepada percambahan idea-idea baru agar dapat menghasilkan karya yang lebih kreatif, estetika dan berkualiti misalnya melalui kemahiran asas teori warna pelajar dapat melontarkan idea mereka dengan mengadun warna asas dengan warna sekunder bagi menghasilkan warna-warna baharu bertujuan diaplikasikan di dalam karya seni visual mereka.


 

Dalam pembelajaran pendidikan seni visual, guru boleh menjelaskan dan memperkenalkan warna dan pasangan warna iaitu warna yang bertindak positif dan negative. Dalam warna terdapat warna yang boleh mewujudkan suasana yang harmoni, kontra, sejuk, panas dan sebagainya.


Pelajar akan memperolehi maklumat, pembentukan konsep-konsep melalui pembelajaran konstruktif dan mereka juga mampu mengelas dan membandingkan warna-warna yang pelbagai misalnya, kombinasi warna hijau untuk latar dan putih untuk tulisan sesuai pada papan tanda tetapi kombinasi warna hijau dan merah tidak sesuai untuk papan tanda kerana ia bertindak negatif.
 


Apabila sudah menguasai pemahaman dan konsep asas ini pelajar akan dapat menghasilkan grafik atau lukisan dengan membuat kombinasi warna mengikut kesesuaian bagi menghidupkan suasana yang diperlukan iaitu suasana sejuk, harmoni, ceria, panas, sedih, dan sebagainya.