Muqadimah

Selasa, 9 Julai 2013

SELAMAT MELAKSANAKAN IBADAH RAMADHAN






Puasa Ramadhan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadhan. Hukum puasa Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

 

Dalil Wajib Puasa Ramadhan

 

Firman Allah S.W.T: “ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ - (Surah Al Baqarah: 183)

 

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

 

" Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

 

Niat Puasa Ramadhan

 
Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran.

 

Lafaz niat

 

Lafaz setiap malam. Niat ringkas:

 

نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

 

Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.

 

Atau

 

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ لِلَّهِ تَعَالَى

 

Niatnya: Sahaja aku puasa esok kerana Allah Taala.

 

Lafaz Niat Yang Lengkap:

 

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

 

Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari bagi menunaikan puasa Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

 

Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa, malah ada niat atau cita-cita di dalam hati untuk bangun sahur itu juga dikira sudah berniat untuk berpuasa kerana seseorang itu tidak bangun sahur atau bercita-cita bangun sahur melainkan bertujuan untuk berpuasa esok harinya, melainkan jika dia memang berniat tidak mahu berpuasa jika tidak terjaga semasa waktu sahur.

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:

 

Lafaznya:

 

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

 

Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

 

Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.

 

Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu lafaz niatnya:

 

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ وَ إِلَى ءَاخِرِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

 

Niatnya: Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala.

 

Waktu Berniat

 

Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan