Muqadimah

Khamis, 25 Julai 2013

TEORI SENI - PART 1 (TEORI KONSTRUKTIVISME)


PENGENALAN

Teori bertujuan untuk menjelaskan satu sistem idea, terutama berdasarkan idea-idea umum yang bebas. Teori bererti model atau kerangka fikiran yang menerangkan fenomenon alami dan sosial tertentu. Teori boleh digeneralisasikan, dipertingkatkan, dan dievolusi secara ilmiah berdasarkan prinsip ilmu. Teori merupakan suatu pendapat yang telah sah kebenarannya. Teori dibangunkan oleh manusia untuk menerangkan sesuatu perkara, meramal, dan menguasai fenomenon tertentu contohnya seperti kemampuan kanak-kanak berfikir, tingkahlaku dan sebagainya. Kebiasaannya teori dipandang sebagai suatu model atas keterangan misalnya tikus menekan alat penekan sekiranya lapar seperti eksperimen tingkahlaku operan Skinner. Teori membentuk kesimpulan umum atas banyak pemerhatian dan terdiri daripada kumpulan idea yang saling berkaitan dan koheren. Kebiasaannya teori yang wujud dapat membantu dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran. 

Tujuh teori yang akan saya bincangkan untuk diaplikasikan ke dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual ialah Teori Konstruktivisme, Teori Behaviorisme, Teori Kecerdasan Pelbagai, Teori Pendekatan Kognitif-Perkembangan, Teori Pembelajaran / Persekitaran, Teori Sosio-Konstruktivisme,  dan Teori Personaliti. Saya akan mengkategorikan kepada beberapa bahagiann iaitu bermula dari Part 1 sehingga Part 7. Saya akan postkan entri ini dari semasa ke semasa dalam tempoh yang terdekat. Semoga dapat memberi manfaat kepada anda semua.

***Ilmu adalah untuk dipindahkan atau disebar-sebarkan maka berdasarkan ilmu yang saya perolehi ini maka saya izinkan anda semua memanfaatkannya. Semoga Allah meredhai kita semua.
 
 


1.0 TEORI KONSTRUKTIVISME


Bruning, Schraw, & Ronning, 1995 menyatakan bagaimana teori ini mampu melahirkan insan yang mampu merangka dan membentuk sesuatu pengetahuan yang difahami dan dipelajari oleh mereka manakala Driver, Squires, Ruswork &Wood, 1994, pula berkata konsep utama konstruktivisme ialah pelajar membina pengetahuan danbukan hanya  disebarkan oleh individu.

Pembelajaran Konstruktivisme boleh dibezakan daripada teori pembelajaran yang lain berdasarkan prinsip berikut.



1. Dalam diri pelajar sudah terbentuk pengetahuan dan kepercayaan:

Bukannya menganggap pelajar sebagai tin kosong, teori alam dan pembelajaran Konstruktivisme menganggap pelajar membawa pengalaman dan kefahaman ke bilik darjah dan kesannya, mereka bertemu dengan maklumat baru di luar konteks, tetapi menggunakan apa yang mereka tahu untuk mengasimilasikan maklumat ini, dan menyesuaikan apa yang mereka sedia tahu kepada penemuan baru. Proses pemerolehan pengetahuan adalah interaktif misalnya, murid mencampur warna asas dengan warna asas akan mendapat warna sekunder.


2. Pelajar meletakkan makna peribadi dalam pengalaman mereka:

Nilai dan kepercayaan mereka yang sedia ada membantu pelajar menginterpretasi dan meletakkan nama seperti interaksi mereka dengan pelajar lain. Makna dibentuk oleh pengalaman lampau pelajar. Dengan itu dua orang pelajar yang membaca puisi yang sama akan menginterpretasikan makna puisi dari segi luarannya dahulu menurut skema masing-masing dan melalui interaksi mereka dengan pelajar lain.


3. Aktiviti pembelajaran membolehkan pelajar mendapat pengalaman, pengetahuan dan kepercayaan:

Pendekatan Konstruktivisme terhadap pembelajaran membolehkan pelajar menggunakan apa yang mereka tahu untuk menginterpretasikan maklumat baru dan membentuk pengetahuan baru. Soalan yang dikemukakan kepada pelajar sepatutnya mendorong penulisan mereka berkaitan apa yang mereka tahu dan percaya. Apabila perkaitan ini dibuat, pelajar mengeluarkan apa yang mereka tahu dan membentuknya semula menjadi suatu yang baru dan memberi makna yang baru.


4. Pembelajaran pelajar secara individu dan kolektif dipengaruhi oleh budaya, bangsa, status ekonomi:

Identiti dan asal usul pelajar mempengaruhi pengalaman mereka di dalam dan di luar sekolah dan pelajar perlu dibantu untuk memahami bagaimana asal usul dan status ekonomi mereka mempengaruhi mereka di sekolah dan di luar. Kemiskinan dan pelajar minoriti kerap dianggap sebagai tidak menyumbang kepada seni, sastera, sejarah atau ekonomi masyarakat mereka kerana kebolehan dan pengalaman mereka tidak digunakan dalam kurikulum rasmi.



1.1 MENGAPLIKASI TEORI KONSTRUKTIVISME KE DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI.


 

Dalam Pendidikan Seni Visual, pelajar sememangnya digalakkan sentiasa mengembangkan idea utama kepada percambahan idea-idea baru agar dapat menghasilkan karya yang lebih kreatif, estetika dan berkualiti misalnya melalui kemahiran asas teori warna pelajar dapat melontarkan idea mereka dengan mengadun warna asas dengan warna sekunder bagi menghasilkan warna-warna baharu bertujuan diaplikasikan di dalam karya seni visual mereka.


 

Dalam pembelajaran pendidikan seni visual, guru boleh menjelaskan dan memperkenalkan warna dan pasangan warna iaitu warna yang bertindak positif dan negative. Dalam warna terdapat warna yang boleh mewujudkan suasana yang harmoni, kontra, sejuk, panas dan sebagainya.


Pelajar akan memperolehi maklumat, pembentukan konsep-konsep melalui pembelajaran konstruktif dan mereka juga mampu mengelas dan membandingkan warna-warna yang pelbagai misalnya, kombinasi warna hijau untuk latar dan putih untuk tulisan sesuai pada papan tanda tetapi kombinasi warna hijau dan merah tidak sesuai untuk papan tanda kerana ia bertindak negatif.
 


Apabila sudah menguasai pemahaman dan konsep asas ini pelajar akan dapat menghasilkan grafik atau lukisan dengan membuat kombinasi warna mengikut kesesuaian bagi menghidupkan suasana yang diperlukan iaitu suasana sejuk, harmoni, ceria, panas, sedih, dan sebagainya.




 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan