Muqadimah

Selasa, 20 Ogos 2013

TEORI SENI - PART 6 ( TEORI SOSIO-KONSTRUKTIVISME )


6.0 TEORI SOSIO-KONSTRUKTIVISME

Teori Sosio-konstruktivisme dapat memperkaya ilmu dan kemahiran guru dalam pengajaran dan pembelajaran, serta menjadi a critical departure from our past practice (Raphael dan Hilbert, 1996:9) supaya guru lebih berupaya untuk melahirkan generasi muda yang terampil berbahasa sesuai dengan aspirasi negara.

 
 
Teori Sosio-konstruktivisme diasaskan oleh Leo Vygotsky (gambar), ahli psikologi Rusia. Beliau telah melontarkan ideanya sebelum meninggal pada usia 38 tahun dan ideanya telah diterjemahkan dalam buku Though and Language pada 1962 namun demikian pengaruh Piaget melalui Teeori Perkembangan Kognitif telah menenggelamkan idea Vygotsky.  

Idea Vygotsky mula mendapat perhatian apabila Mind in Society iaitu judul daripada nota-notanya diterbitkan pada 1978. Jerome Bruner, Courtney Cazden, dan Michael Cole merupakan diantara tokoh ahli psikologi barat yang mendukung idea beliau. Gavalek (1986) menyatakan beliau tidak terkejut apabila teori Perkembangan Kognitif Vygotsky tidak mendapat perhatian pendidik namun demikian menurut Rowe (1991), teori ini telah mendapat tempat dan berkembang pesat di Barat.

Individu mendapat ilmu pengetahuan melalui komunikasi dan interaksi dengan persekitaran mereka. Pembelajaran yang mementingkan domain afektif, interaktif, bersifat sosiobudaya dan menyeluruh adalah antara disiplin ilmu. Interaksi adalah media dalam pembentukan pengetahuan. Wells dan Chang-Wells (1992), menyatakan pendekatan ini melihat proses pembelajaran dalam perspektif yang lebih luas dan menyeluruh.
Aliran Pemikiran Teori Perkembangan Kognitif Vygotsky

Melalui teori Sosio-konstruktivisme, kanak-kanak dipercayai mempunyai kebolehan dan berpotensi mencari pengalaman atau meneroka sesuatu yang bermakna di sekeliling mereka. Oleh sebab itu, kita melihat kanak-kanak suka bermain dan tidak boleh duduk diam. Perkembangan kognitif mereka berlaku apabila mereka aktif dan berinteraksi dengan alam persekitaran dan sesama manusia.

            Dalam hubungan ini, teori ini percaya bahawa kegiatan mental yang tinggi (termasuk membaca dan menulis) dipengaruhi oleh sosiobudaya dan ahli sesuatu budaya yang lebih berilmu dapat membantu kanak-kanak dalam pembelajaran ( Mc Carthy dan Raphael, 1992). Keadaan ini boleh berlaku kerana kebolehan kanak-kanak untuk berfikir dan belajar sebenarnya sudah canggih dalam struktur yang tersendiri walaupun berlainan daripada orang dewasa (Egan, 1987). Jelaslah bahawa andaian ini melihat pelajar sebagai individu yang aktif, berpotensi dan berkeinginan tinggi untuk mengenal serta membentuk makna daripada keadaan di sekeliling mereka.

Persekitaran sosial yang mengelilingi pelajar (rakan-rakan dan guru) merupakan unsur yang bersifat interaktif dengan pelajar dalam proses pembentukan pengetahuan, kefahaman, dan kemahiran. Dalam hubungan ini, guru menjadi pemangkin yang menggalakkan interaksi antara pelajar dan juga antara guru dengan pelajarnya. Kepentingan aspek sosial dalam teori ini sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan andaian pembelajaran progresif yang dilandasi oleh teori Piaget, tetapi jauh bertentangan dengan andaian pendekatan tradisional yang diasakan oleh teori behaviourisme yang tidak mementingkan unsur social.

Piaget percaya kanak-kanak perlu menjelajah persekitarannya untuk membentuk pengalaman yang berstruktur sifatnya (Wells dan Chang Wells, 1992) yang kemudian nanti menjadi asas pembelajaran. Cotton (1995), mengatakan bahawa proses pembelajaran dikatakan berstruktur kerana kanak-kanak terikat oleh empat tahap pertumbuhan mandatori yang turut berstruktur sifatnya iaitu sewaktu kelahiran hingga 2 tahun (peringkat deria-motor), usia 2 hingga 6 tahun (peringkat praoperasi), usia 7 hingga 11 tahun (peringkat operasi konkrit) dan 12 tahun ke atas (peringkat operasi formal).
Empat tahap pertumbuhan berstruktur Piaget

Oleh yang demikian, pengajaran dan pembelajaran perlu dilaksana secara progresif, tahap demi tahap bermula dengan tahap paling rendah. Untuk peringkat seterusnya, kanak-kanak dikatakan perlu mempunyai penguasaan dalam tahap sebelumnya bagi membolehkannya menangani tahap yang seterusnya. Keadaan ini kurang menggalakkan pertumbuhan kognitif kanak-kanak secara bebas dan meluas sekiranya mereka mempunyai kemampuan.

Proses pembelajaran sosio-konstruktivisme  adalah aktif dan interaktif yang mana melibatkan kedua-dua pihak iaitu guru dan murid.  Murid perlu mencari ilmu pengetahuan melalui interaksi dengan rakan, guru dan persekitan mereka. Murid tidak boleh hanya menjadi penerima maklumat tanpa meneroka atau mencari maklumat itu sendiri.

Dalam proses ini, pelajar boleh mengetengahkan kepercayaan atau idea mereka untuk dikritik, kemudian memberikan rasional untuk mempertahankan pendirian dan kepercayaan mereka. Pada masa yang sama, pelajar menilai ideanya berasaskan pandangan dan pendapat rakan-rakan. Hasil daripada itu, terbentuk suatu kefahaman yang  berasaskan persetujuan bersama. Kepercayaan atau kefahaman yang sebegini tentu sekali mempunyai peluang yang lebih banyak untuk membentuk makna yang memiliki kebenaran berbanding dengan kepercayaan yang terbentuk tanpa pandangan orang lain.

6.1 MENGAPLIKASI TEORI SOSIO-KONSTRUKTIVISME KE DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI.


          Apresiasi merupakan satu elemen penting dalam pengajaran Seni Visual. Pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi dalam pelbagai aktiviti kehidupan dapat diapresiasikan dalam pendidikan seni.  Melalui aktiviti seni, murid dapat menyatakan apa yang didapati oleh pancainderanya, murid juga dapat membandingbezakan hasil kerja dan pernyataan boleh dinyatakan secara lisan, bercerita, nyayian dan sebagainya. 

Terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk membuat apresiasi. Misalnya aktiviti origami iaitu menghasilkan katak,  murid boleh menceritakan mengenai katak dan mengeluarkan bunyian katak. Guru juga boleh menyelitkan unsur nyanyian seperti lagu ‘bangau oh bangau’ yang mana didalam liriknya ada kaitan dengan katak.

Kaedah lazim yang sering digunakan ialah penampilan murid di hadapan kelas dan berapresiasi hasil karya mereka, seterusnya murid mendengar kritikan daripada guru dan rakan. Guru perlu sentiasa bersedia untuk mengawal situasi kelas agar murid berkeyakinan untuk tampil dan berapresiasi.

TEORI SENI - PART 5 ( TEORI PEMBELAJARAN DAN PERSEKITARAN )


5.0 TEORI PEMBELAJARAN DAN PERSEKITARAN

 Bandura (1977, 1981) menekankan kemampuan kendiri adalah kemampuan menilai diri dan ianya merupakan konsep efektif-kendiri. Jadi, menurutnya konsep efektif-kendiri sebagai keupayaan kendiri seperti mana yang dinilai oleh individu itu sendiri untuk sama ada berjaya atau gagal dalam melaksanakan sesuatu perkara. Beliau juga mengatakan bahawa bayi dan kanak-kanak bukan sahaja tidak memahami proses yang berlaku dalam dunia sosial dan fizikal di sekeliling mereka, tetapi juga tidak tahu tentang takat keupayaan diri mereka sendiri. 
Oleh sebab itu, ibu bapa berperanan besar dalam mendidik anak-anak mereka secara lisan dan sebagainya, seperti melarang daripada bermain dengan mancis, jangan tidur lambat, jangan terlalu banyak makan gula-gula dan sebagainya. Segala arahan-arahan ini beserta pengalaman cuba-jaya anak-anak berkenaan akan membantu kanak-kanak mendapatkan ilmu dengan mempelajari mengenai keupayaannya.
Mekanisme yang dapat membantu menggalakkan perkembangan penilaian efektif kendiri ialah melalui modeling dan reaksi badan. Melalui modeling, kanak-kanak melihat dan memerhati model tertentu untuk menentukan sama ada sesuatu perkara itu akan berjaya atau tidak. Misalnya memerhati seorang kanak-kanak lain yang sebaya dengannya melangkah longkang. Katanya dalam hati jika anak-anak itu boleh melangkah longkang maka sudah tentu saya pun boleh. Ternyata dengan melihat pengalaman orang lain ini memerlukan tingkat keupayaan kognitif yang tinggi, kanak-kanak tersebut perlu menentukan model dan pengalaman yang diperhatikan itu sesuai dengan dirinya.
          Mekanisme kedua bagi kanak-kanak belajar tahap keupayaannya ialah melalui reaksi dalam badannya. Reaksi-reaksi emosi seperti rasa tertekan, sakit perut, dan berpeluh sering dikaitkan dengan kegagalan. Apabila mengalami keadaan-keadaan seperti itu, kanak-kanak akan belajar bahawa rangsangan emosi tersebut adalah tanda rasa takut, cemas, kurang yakin dan mereka sedar bahawa kegagalan akan berlaku sebentar lagi. Respons daripada situasi boleh dicetuskan kanak-kanak yang telah meningkat tinggi pemikiran kognitifnya. (Bandura dan Schunk, 1981).
 


Mekanisme Penilaian Efektif-Kendiri
 
          Penilaian efektif-kendiri ternyata akan mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak dan seterusnya meninggikan usaha dan ketekunan dalam satu-satu tugas yang kemudiannya akan meningkatkan prestasi tugas tersebut. Konsep ini berkait dengan tahap pencapaian akademik kanak-kanak dan bagaimana ia berkait dengan tahap pencapaian akademik kanak-kanak dan bagaimana ia berkait pula dengan efektif-kendiri diri. Tiga komponen sistem kendiri ialah penilaian kendiri, pengetahuan-kendiri, dan pangatur-kendiri. Teori kognitif-perkembangan menekankan soal perkembangan pengetahuan-kendiri. Berdasarkan temu bual dengan kanak-kanak, Selman memperkenalkan model lima tahap yang bermula dengan ketidakupayaan bayi untuk membezakan diri fizikal dengan diri psikologi dan berakhir dengan keupayaan remaja untuk mengetahui bahawa sebahagian daripada aspek diri kekal berada di bawah sedar dan tidak boleh diketahui sepenuhnya.
Bandura pula menekankan soal efektif-kendiri. Penilaian efektif-kendiri dianggap tidak tepat semasa zaman awal kanak-kanak tetapi mula menunjukkan kemajuan sedikit demi sedikit melalui empat proses iaitu arahan lisan daripada ibu bapa dan orang dewasa lain, pengalaman-pengalaman kejayaan dan kegagalan, pemerhatian terhadap model-model yang relevan dan reaksi dalaman badan.

5.1 MENGAPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN/PERSEKITARAN KE DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI.

          Pemerhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran sangatlah penting. Pemerhatian mengikut teori Albert Bandura adalah satu proses dalam membentuk tingkah laku diri berdasarkan peniruan tingkah laku orang lain. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni, kanak-kanak akan melihat sesuatu yang diperhatikan sebagai model. Kanak-kanak akan menjadikan guru dan rakan-rakan sebagai model tingkahlaku. Manakala dari segi melakukan aktiviti seni, kanak-kanak akan menjadikan sumber alam semulajadi dan alam benda sebagai model penghasilan karya seni. Terdapat dua jenis pembelajaran melalui pemerhatian iaitu melalui peneguhan dan meniru tingkah laku model.  Semasa pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni, peneguhan boleh berlaku apabila guru memberi ganjaran kepada murid yang menghasilkan karya seni berkualiti atau denda kepada murid yang degil/nakal/malas bertujuan untuk mengubah tingkah laku.  Murid yang menerima ganjaran daripada guru akan bertambah motivasi positif manakala murid yang melihat ganjaran yang diperolehi rakan akan cuba membuat yang terbaik  dan murid yang melihat hukuman (denda) yang dikenakan oleh guru akan mengubah tingkah laku mereka. Meniru tingkahlaku model dipraktikkan dalam pendidikan seni tanpa disedari, kebiasaannya murid atau pelajar menjadikan sesuatu model sebagai peniruan. Contohnya kemahiran membuat kraftangan, murid akan meniru langkah-langkah membuat kraftangan daripada pembuatnya.