Muqadimah

Selasa, 3 September 2013

DSV DALAM KSSR


KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)

 
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif. KSSR menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan dan patriotik.
 

Melalui KSSR, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks. KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.


ORGANISASI KANDUNGAN KSSR DUNIA SENI VISUAL
 

Kurikulum Dunia Seni Visual sekolah rendah mengandungi empat bidang iaitu;

1.    Menggambar

2.    Membuat Corak Dan Rekaan

3.    Membentuk Dan Membuat Binaan

4.    Mengenal Kraf Tradisional.
 

Organisasi kandungan dalam empat bidang tersebut disusun berasaskan kepada empat standard kandungan iaitu;

1.    Persepsi Estetik

2.    Aplikasi Seni

3.    Ekspresi Kreatif

4.    Apresiasi Seni.
 

Standard pembelajaran digubal dan diperincikan bagi tujuan pengajaran berasaskan standad kandungan.

 

STANDARD KANDUNGAN 1 : PERSEPSI ESTETIK

Standard kandungan ini membolehkan murid membuat persepsi dan memahami bahasa seni visual (unsur seni dan prinsip rekaan) yang terdapat pada alam ciptaan Tuhan, objek buatan manusia, dan karya seni.
 

STANDARD KANDUNGAN 2 : APLIKASI SENI

Standard kandungan ini membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan, pemahaman, dan bahasa seni visual menerusi penentuan media dan teknik dalam aktiviti seni.
 

STANDARD KANDUNGAN 3 : EKSPRESI KREATIF

Standard kandungan ini mengaplikasikan pengetahuan dan kefahaman bahasa seni visual menerusi penzahiran idea melalui pelbagai sumber, kajian, dan teknologi dalam penghasilan karya seni.
 

STANDARD KANDUNGAN 4 : APRESIASI SENI VISUAL

Standard kandungan ini membolehkan murid membuat apresiasi terhadap karya sendiri dan rakan berpandukan bahasa seni visual, sejarah seni, dan budaya. Murid juga boleh membuat penghayatan dan penghargaan seni warisan serta hubung kait seni visual dengan disiplin ilmu yang lain, kehidupan, dan kerjaya.

 

PENGERTIAN PERSEPSI ESTETIK

Antara definisi persepsi yang dikemukakan oleh ahli-ahli falsafah yang terkenal ialah;

1.    Persepsi adalah tahap pertama proses berfikir. Tahap kedua adalah logik. Persepsi mempengaruhi apa yang dilihat oleh logik. Ringkasnya persepsi menentukan logik - Edward, 1969.  

2.    Persepsi adalah satu set proses di mana kita mengiktiraf, mengorganisasikan dan memberi makna kepada rangsangan yang diterima daripada alam persekitaran - Sternberg, 1996. 

3.    Persepsi ialah sebarang pengalaman yang diperoleh daripada pancaindera kita setelah ia diorganisasikan -Brenman, 1991. 

4.    Persepsi adalah proses minda yang membantu kita memilih rangsangan dan isyarat untuk diberi perhatian – Nahavandi dan Malekzadeh 1998. 

Konsep persepsi secara ringkasnya dapat dibahagikan kepada dua aliran iaitu empirikal dan rasionalis. Definisi-definisi yang diberikan di atas adalah gabungan dua aliran itu. Aliran empirikal merujuk kepada cara memahami pembentukan persepsi dengan cara pemerhatian manakala aliran rasionalis merujuk kepada cara pemahaman yang lebih berdasarkan olahan minda. Persoalan bagi menghuraikan konsep persepsi dengan lebih mendalam adalah dengan member jawapan bagi soalan apakah itu persepsi dan bagaimanakah ia dibentuk.

Prinsip semula jadi memainkan peranan penting bagi menghuraikan konsep persepsi. Ia menyarankan pancaindera yang terdapat pada setiap insan tidak kira berapa umurnya akan dipengaruhi oleh persepsi visual. Prinsip ini tidak mengambil kira pengalaman yang dilalui oleh insane itu ketika memproses gambaran kerana faktor pengalaman itu tidak berupaya mempengaruhi persepsi visualindividu itu.

Estetik merupakan kajian deria atau nilai deria-emosi, ataupun timbangan sentimen sentimen dan cita rasa. Estetik merupakan subdisiplin aksiologi, sesuatu cabang falsafah dan sering dikaitkan dengan falsafah seni.

Persepsi Estetik ialah gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran atau tanggapan berkenaan keindahan atau penghargaan terhadap keindahan.
 

PENGERTIAN APLIKASI SENI 

Pengaplikasian seni dalam pengajaran dapat mengelakkan pelajar daripada lesu dan bosan terhadap pelajaran dalam kelas. Seni sangat penting diaplikasikan dalam pengajaran kerana berupaya melahirkan pelajar yang kreatif, inovatif,  berpengetahuan,dan memberi pengalaman yang bererti kepada pelajar.

Dalam proses mengaplikasikan seni dalam pengajaran kebiasaannya menggunakan pendekatan pengajaran berpusatkan guru dan pelajar..Pelbagai teknik yang digunakan oleh seorang guru dalam memberi kefahaman kepada pelajarnya. Proses pengajaran dan pembelajaran perlu menggunakan media pengajaran yang bersesuaian dengan isi pembelajaran dan teknik mengajar yang diguna pakai. Media pengajaran boleh dibahagikan kepada dua iaitu media bukan cetak dan media cetak. Antara media pengajaran yang digunakan dalam mengaplikasikan seni ialah filem, video, cakera video interaktif, lukisan, carta, kartun, poster, graf, model, boneka, alat paparan,pita audio dan lain-lain. Media pengajaran amat membantu guru. Aplikasi seni dalam pengajaran penting kerana dapat memupuk penghayatan estetika. Dengan mengaplikasikan seni dalam pengajaran seperti pengunaan visual ruang, pelajar akan berkebolehan untuk berfikir dalam tiga dimensi iaitu mengubahsuai imej serta melayari ruang dan menghasilkan maklumat grafik. Pelajar akan melihat dan memerhatikan melalui objek, bentuk warna atau pemandangan yang dipamerkan seperti peta minda, carta, lukisan, warna atau ukiran. Ini akan membantu pelajar untuk lebih mudah mengingat.


PENGERTIAN EKSPRESI KREATIF
 

Ekspresi bermaksud melahirkan perasaan, menyatakan perasaan, atau meluahkan perasaan dan fikiran dengan kata-kata atau gerak-geri. Kreatif pula bermaksud kebolehan men­cipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Jadi, ekspresi kreatif ialah kebolehan murid menghasilkan hasil seni berdasarkan perasaan atau fikiran mereka secara kreatif.
 

Kreativiti merupakan potensi yang ada dalam diri individu dan ia tidak terhad kepada keupayaan atau kebolehan seni.  Semasa mempelajari seni, kanak-kanak secara langsung dan terancang didedahkan kepada proses kreatif yang menuju kepada pemikiran kreatif dan seterusnya membentuk ciri-ciri kreativiti yang tinggi dalam hasil karya mereka. Aktiviti serta projek seni memberi latihan terarah kepada kanak-kanak untuk melalui proses kreatif secara berperingkat menerusi budaya berfikir. Proses kreatif merangsang budaya pemikiran kreatif dan kritis dalam menyelesaikan tugasan sama ada dalam bentuk permasalahan atau membuat keputusan. Aktiviti seni turut menggalakkan proses eksperimentasi dan penerokaan di kalangan kanak-kanak.

 

PENGERTIAN APRESIASI SENI VISUAL

Jika berhadapan dengan sebuah karya seni rupa tentu akan muncul tanggapan secara visual saat mata mengamati bahagian-bahagiannya. Seterusnya, muncul tanggapan dari dalam diri untuk menilai karya tersebut apakah menarik, mengagumkan, indah, menggetarkan, atau mengharukan. Tanggapan tersebut disebut apresiasi. Apresiasi adalah sikap kepekaan dalam menghargai, mengagumi, dan menilai sebuah karya seni. Apresiasi pasif tumbuh seiring dengan pembiasaan yang sifatnya pasif sampai pada tahap menilai. Adapun apresiasi aktif, iaitu apresiasi pasif yang disertai pembuatan karya.

Apresiasi pasif dapat dilakukan dengan pelbagai cara, mulai dari mengamati gambar atau reproduksi karya seni rupa di buku hingga menghadiri pameran karya seni rupa. Adapun apresiasi aktif terjadi jika ada dorongan untuk berkarya setelah melakukan kegiatan apresiasi pasif.

Untuk melakukan apresiasi aktif, seseorang tidak harus menjadi seorang perupa kerana setiap orang dapat berkreasi sesuai kemampuannya. Para ahli menyatakan bahawa kegiatan kreatif beroleh seni rupa dapat menjadi pelepas jiwa yang tegang. Dengan demikian, berapresiasi aktif dapat menyegarkan kembali suasana batin seseorang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan