Muqadimah

Selasa, 3 September 2013

PENGAJARAN PENYELESAIAN MASALAH

Menyelesaikan masalah adalah satu proses mental untuk mengatasi halangan yang sedang dihadapi berdasarkan tujuan tertentu.Masalah dimaksudkan sebagai sesuatu yang memerlukan penyelesaian, perkara, soal ataupun soalan yang memerlukan jawapan. Charles dan Lester (1987) mengklasifikasikan masalah kepada dua jenis iaitu masalah rutin dan masalah bukan rutin. Manakala Krulik dan Rudnick (1980) pula mendefinisikan masalah sebagai kenyataan atau situasi dalam kehidupan seharian yang memerlukan penyelesaian akan tetapi cara penyelesaian itu tidak begitu nyata atau ketara. Seterusnya, Krulik dan Rudnick memberikan tiga syarat bagi menentukan kewujudan sesuatu masalah kepada seseorang individu. Syarat-syarat itu ialah;

i.      Mesti terdapat matlamat yang jelas untuk dicapai oleh individu yang bermasalah itu.

ii.    Mesti terdapat halangan terhadap cara pencapaian tujuan itu.

iii.   Matlamat dan halangan itu mendorong seseorang individu untuk meninjau kaedah bagi memecahkan halangan kea rah mencapai matlamat tersebut.

Penyelesaian masalah merupakan satu aktiviti yang kompleks yang melibatkan pengingatan semula fakta yang telah dipelajari, penggunaan pelbagai kemahiran, memerlukan kecemerlangan berfikir secara kreatif dan kritis dan penggunaan pelbagai prosedur (Siti Khazimah, 2001) 

Gagne (1985) mentakrifkan penyelesaian masalah sebagai sintesis peraturan dan konsep tertentu untuk menghasilkan kemahiran berfikir peringkat tinggi yang dapat digunakan untuk menangani keadaan bermasalah. Definisi yang dimajukan oleh Gagne adalah berlandaskan teori pemprosesan maklumat.

Penyelesaian masalah adalah satu kaedah yang melibatkan murid secara aktif untuk membuat keputusan atau untuk mencapai satu sasaran tertentu. Semasa penyelesaian masalah, aktiviti seperti simulasi, perbincangan dan eksperimen boleh dijalankan. Secara umumnya, penyelesaian masalah melibatkan langkah berikut:

1. Kenal pasti dan faham masalah

2. Jelaskan masalah

3. Cari alternatif penyelesaian masalah.

4. Lakukan operasi penyelesaian.

5. Nilaikan penyelesaian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan