Muqadimah

Selasa, 3 September 2013

TEORI SENI - PART 7 (TEORI PERSONALITI)


7.0 TEORI PERSONALITI
               
Sigmund Freud (1856-1939) adalah tokoh yang tidak asing lagi dalam psikologi terutamanya psikologi personaliti. Freud menggunakan pengalaman dan kepakarannya dalam bidang kejiwaan berjaya mencungkil perasaan-perasaan terpendam dalam lubuk hati manusia. Perasaan terpendam itu mungkin dilupakan dengan sengaja ataupun tidak. Perasaan bawah sedar ini sebenarnya sengaja dipendam.   Menurut pandangan Freud, desakan naluri manusia mendorong manusia memenuhi keperluannya. Kepuasan yang diperoleh dapat mengembalikan keseimbangan tubuh badan. Menurut teori Freud lagi, system minda manusia terdiri daripada tiga iaitu id, ego dan superego. Id adalah dorongan biologi atau kehendak naluri seperti keperluan seks, makanan dan tidur. Ia bertindak bermatlamatkan keseronokan. Ego pula bertentangan denganId. Ia berperanan memilih tindakan yang dapat menghalang desakan Id. Ego terbentuk apabila kanak-kanak mendapati tidak semua yang diingini oleh Id dapat dipenuhi. Manakala super ego pula mempengaruhi ego supaya memilih tingkahlaku secara realistik.


Sistem Minda Manusia Menurut Teori Sigmund Freud


Seorang ahli psikologi bernama Carl Jung juga pada awalnya bersetuju dengan pendapat Freud. Namun, beliau berpendapat, personaliti bukan sahaja ditentukan oleh pengalaman silam seseorang, malah ia juga dipengaruhi oleh matlamat pada masa hadapan. Jung mengembangkan teorinya dengan mengemukakan dua sikap asas iaitu exstraversion dan introversion. Seseorang yang  bersikap exstrovert mudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekelilingnya. Orang yang bersikap introvert pula suka memendam perasaan dan tidak suka bersosial.

 


Gordon Allport berpendapat, manusia yang mempunyai personaliti yang sihat tidak dipengaruhi oleh zaman kanak-kanak semata-mata. Beliau melihat pembentukan personality sebagai suatu proses perubahan dan perkembangan yang dinamik dalam diri seseorang. Perkembangan personaliti menurutnya lagi akan berterusan dan sentiasa berubah-ubah. Menurut Allport, ciri-ciri dalaman pada diri manusia yang dinamakan trait mempengaruhi tingkah laku. Ciri-ciri yang diwarisi ini dapat dibentuk melalui pengalaman dan interaksi dengan persekitarannya. Manusia dapat memilih situasi yang dikehendaki dan bukan hanya bertindak balas terhadapnya.



7.1 MENGAPLIKASI TEORI PERSONALITI KE DALAM  PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI

Masalah emosi, masalah ketegangan, masalah disiplin, masalah keyakinan diri, dan sebagainya perlu ditangani dengan bijak oleh guru pendidikan seni. Kefahaman tentang teori personaliti memudahkan guru untuk menanganinya. Guru pendidikan seni perlu ingat bahawa matapelajaran pendidikan seni adalah subjek yang sangat diminati oleh para pelajar. Kepelbagaian aktiviti dalam subjek pendidikan seni menjadikan para pelajar teruja.

Semasa apresiasi seni dijalankan, guru akan melihat, mendengar dan memerhatikan murid menceritakan setiap perkara yang terlintas difikiran. Murid akan meluahkan segala emosinya melalui karya seni, reaksi badan, dan melalui lisan. Kadang-kala murid akan meluahkan perasaannya melalui kata-kata tanpa ia sedar apa yang diucapkannya.

Melalui aktiviti seni, pelajar akan dapat meluahkan perasaan sepuas-puasnya. Ini menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran pendidikan sukar dikawal namun, guru perlu bersabar dan perlu bijak mengawal keadaan. Karya seni yang dihasilkan boleh menggambarkan perasaan seseorang. Guru boleh menilai dan membuat penilaian terhadap karya yang dihasilkan. Melalui aktiviti seni juga, murid diajar hidup berkelompok atau hidup bermasyarakat. Ini berlaku melalui aktiviti berkumpulan. Murid akan berinteraksi bersama rakan untuk menghasilkan karya seni ataupun menyelesaikan masalah yang dihadapi. Contohnya, murid akan membuat aktiviti binaan berdasarkan sumber bahan terbuang, murid akan mengagihkan tugasan bersama rakan-rakan untuk mencari bahan terbuang. Aktiviti berkumpulan akan mewujudkan nilai kepimpinan kerana mereka akan melantik ketua kumpulan.

Guru juga berperanan sebagai kaunselor untuk memberikan bimbingan dan pedoman kepada murid. Guru perlu membimbing dan memberi contoh-contoh terbaik agar murid menjadi modal insan berkualiti. Bimbingan yang diberi haruslah benar-benar efektif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan