Muqadimah

Selasa, 25 Februari 2014

KERIS - Bahagian Keris

BAHAGIAN KERIS

Keris boleh dibahagikan kepada tiga bahagian yang utama iaitu mata, hulu dan sarung. Bahagian mata merupakan komponen yang paling penting dalam sebilah keris. Mata keris bermaksud keseluruhan badan keris yang mempunyai ketajaman di kedua-dua belah bilah matanya. Mata keris biasanya mempunyai luk yang menjadikan keris bersifat unik. Luk mata keris lazimnya mempunyai bilangan ganjil. Selain keris berluk terdapat juga keris tidak mempunyai luk seperti keris suluk, keris sepokal dan keris panjang. Bilah mata keris juga berbeza antara satu sama lain. Ada permukaan bercorak dan tidak kurang juga permukaan tidak bercorak. Mata keris yang mempunyai permukaan yang tidak bercorak dikenali sebagai melela manakala permukaan bilah bercorak dipanggil pamor.


A. Bahagian Mata Keris

 i. Mata Keris
Mata keris umumnya dibahagikan kepada 3 bahagian yang utama, iaitu hujung, tengah dan pangkal mata. Antara ketiga-tiga bahagian mata keris tersebut, bahagian pangkal mata keris merupakan bahagian yang paling banyak komponennya yang dikenali sebagai “ricikan keris”. Bahagian depan dinamai “gandik” manakala bahagian belakang dinamai “greneng”. Mata keris terdiri daripada aring, puting, dagu, bibir gajah, gading gajah, janggut, janggut panjang, tikal alis, sogokan, ganja, gusen, tetulang, picitan, bawang sebuku, jantung, sraweyan, wadidang, ron da nunut, ron da, duri pandan, gunung, kanyut dan ekor cicak.
 

ii. Luk Keris
 Keris mempunyai luk atau keluk yang menyerupai ular yang sedang menyusur. Luk keris biasanya bermula dari angka 3 hingga 13. Dipercayai terdapat juga keris yang mempunyai luk yang lebih daripada 13 tetapi jarang-jarang ditemui. Sekiranya ada sekalipun keris ini dikatakan tidak sempurna. Masyarakat Melayu mempercayai bilangan luk yang ganjil membawa maksud tertentu serta melambangkan status atau kedudukan pemiliknya.



 iii. Pamor
Pamor ialah corak yang terdapat pada bilah mata keris. Jika pamor dikaitkan dengan rupa manusia, ia menunjukkan seseorang itu mempunyai rupa paras yang cantik dan menawan. Kajian mendapati pamor yang dihasilkan melalui gabungan bahan-bahan daripada besi seperti besi waja dan besi yang mempunyai nikel yang tinggi dapat menghasilkan bahan aloi yang baik. Bahan-bahan ini dibentuk dan ditempa dengan halus sehinggalah sempurna menjadi corak sebilah mata keris yang berkualiti.



Rajah 5: Pamor (sumber: http://rudikerisjowo.blogspot.com/)


Kesenian yang terdapat pada keris bukan sahaja dalam masa pembuatannya tetapi juga pada hasilnya iaitu rupa bentuk keris itu sendiri. Kebanyakkan keris yang terhasil berbentuk kelok-kelok yang semakin meruncing pada bahagian hujungnya. Ada juga keris yang matanya berbentuk lurus dengan terdapat dua bahagian yang tajam pada kedua-dua belah bahagian matanya. Panjang sesuatu keris yang biasa adalah diantara 1-2 kaki panjang, namun begiti terdapat juga keris yang panjangnya mencapai 3 kaki. Lebar mata keris yang biasa berukuran antara 1-1 ½ inci.

B. Bahagian Hulu Keris

Hulu keris atau dikenali juga sebagai tangkai keris, berfungsi sebagai pemegang kepada keris. Lazimnya hulu keris diperbuat daripada bahan keras seperti kayu, tanduk, gading, gigi gajah bahkan terdapat juga hulu keris yang diperbuat daripada logam yang bersifat menyatu bersama-sama mata keris.

Rajah 6 : Hulu Keris (Sumber :http://wilwatiktamuseum.wordpress.com/category/pusaka-nusantara/hulu-keris-rencong-badik/)
 
C. Bahagian Sarung Keris


Sarung keris umumnya merupakan bekas tempat menyimpan mata keris supaya berada dalam keadaan selamat dan tidak memberi kesan merbahaya kepada penggunanya. Sarung keris dibentuk mengikut kesesuaian bentuk mata keris. Secara umumnya terdapat lima bahagian sarung keris yang utama iaitu, bahagian sampir, batang serunai, batang sarung, hujung sarung atau buntut keris disamping pendok yang merupakan sarung luar kepada sarung batang keris yang disaluti dengan logam berharga seperti emas, perak, dan tembaga. Namun begitu tidak semua sarung keris memakai endok.


 
Rajah 7 : Sarung Keris
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan