Muqadimah

Selasa, 11 Februari 2014

KERIS - Definisi Keris


              Dalam membahas persoalan senjata, ada baiknya kita melihat apa yang dimaksudkan dengan senjata. Di dalam Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, senjata bermaksud alat yang digunakan untuk berperang atau berkelahi seperti keris, lembing dan tombak.


Budaya penggunaan keris telah menjadi tradisi masyarakat Melayu semenjak turun temurun. Keris mempunyai fungsi sebagai alat mempertahankan diri dan juga alat perhiasan diri. Dikatakan orang Melayu apabila keluar dari rumah tidak akan lengkap sekiranya tidak membawa keris. Oleh itu keris tidak terhad sebagai alat membunuh dan untuk mempertahankan diri malah dijadikan perhiasan.  Di dalam perjalanan untuk mengembara atau ke tempat kerja keris diselitkan dipinggang pemakainya.  


Sesuai dengan perkembangan zaman, fungsi dan peranan keris dalam masyarakat Melayu juga mengalami perubahan. Keris adalah suatu senjata yang terkenal dengan rupa bentuk tersendiri yang mewakili kebudayaan penduduk di Kepulauan MeLayu. Ia menjadi lambang bangsa Melayu dan menjadi elemen-elemen penting sebagai alat istiadat bangsa dan negara yang telah digunakan sejak lebih 600 tahun dahulu. Tiada tarikh tepat yang menunjukkan bila keris mula bertapak di Tanah Melayu.

Menurut Griffith William (1937), keris dicipta pada abad ke 14 dan ke 15 dimana ia menjadi senjata kerajaan Majapahit. Menurutnya keris berasal daripada mata lembing yang telah diubahsuai kegunaannya.

G.B. Gardner (1936) pula berpendapat keris pertama berasal dari Majapahit. Pada mulanya diperbuat daripada sengat ikan pari dengan dibungkus pangkalnya sebagai tempat pemegang, dari sinilah timbulnya fikiran mencipta keris.

G.C. Wooley (1974) tidak bersetuju dengan pendapat Griffith William dan G.B Gardner, menurutnya keris telah digunakan di Majapahit pada kurun ke 14, iaitu keris yang dinamakan keris hulu dan mata seiras. Keris tidak sahaja digunakan di pinggir-pinggir pantai tetapi juga di daerah-daerah pedalaman di mana sukar untuk mendapatkan sengat ikan pari. Beliau berpendapat bahawa keris adalah sejenis senjata asli dan tidak ditiru atau dipengaruhi oleh mana-mana senjata lain.

Stamford Raffles (1817) pula menulis terdapat sebuah gambar yang menunjukkan orang sedang membuat keris di Candi Suku, Jawa pada TM 1361-1362. Sebaliknya Crawfurd (1820) mengatakan bahawa gambar ni hanya menggambarkan orang sedang membuat pedang dan lembing.

Shahrum Yub (1967) menyimpulkan bahawa keris telah mula wujud atau dicipta di alam Melayu sejak abad ke 14 lagi. Adalah dipercayai keris telah dunakan sebagai senjata yang umum di alam Melayu sebelum lahirnya kesultanan Melaka dalam tahun 1400 masihi.

Antara satu daerah dengan daerah yang lain di Nusantara senjata tikam seperti keris mempunyai bentuk, rupa dan ukuran yang berlainan. Hal ini dipengaruhi oleh factor-faktor kedudukan geografi, sejarah, ruang, masa dan kemahuan sesuatu masyarakat. Berdasarkan kepada hulu, mata dan sarung juga campuran diantara bahagian tersebut, jenis-jenis keris di Gugusan Kepulauan Melayu dapat dibahagikan kepada beberapa jenis.

Kemahiran tangan yang bergandingan dengan ketajaman minda telah mencetus penghasilan pelbagai bentuk keris. Kraf keris adalah antara cetusan gandingan kemahiran dan ketajaman minda yang telah mengharungi zaman berzaman.
 
G.C. Wooley (1947) misalnya membahagikan keris kepada 7 jenis iaitu;
Keris Semenanjung atau jenis Utara
Keris Pekaka
Keris Jawa
Keris Sumatera
Keris Bali dan Madura
Keris Bugis
Keris Sundang atau Sulok


Selain ketujuh-tujuh jenis keris tersebut terdapat beberapa nama jenis keris mengikut mata, hulu, dan sarungnya. Antara lainya dapat dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut bentuk matanya yang berluk iaitu:
Keris Sepukal, yang tidak berluk.
Keris Sempana, mempunyai 3,5, atau 7 luk.
Keris Cerita, mempunyai 9 hingga 15 luk.
Keris Rantai atau Lemona, yang mempunyai 19 lok atau lebih.


Menurut Shahrum Yub (1967), selain jumlah luk, keris juga dapat dibahagikan mengikut bentuk matanya yang berciri khas seperti keris Majapahit yang mempunyai mata dan hulu yang seiras, keris Picit yang bermata lebar dan mempunyai kesan picitan jari, keris Alang dan lain-lain yang keseluruhannya mencapai 46 jenis semuanya. Keris yang diberi nama sepena bentuk hulunya adalah seperti;
Keris Jawa Demam
Keris Hulu Gading
Keris Hulu Kakak Tua
Keris Hulu Kemuning
Keris Hulu Kencana
Keris Harubi
Keris Merubi
Keris Bawang Sebongkal
Keris Hulu Pekaka

Nama keris yang diberi nama berdasarkan sarungnya adalah;
Keris Pondok
Keris Terapang
Keris Terapang Gabus


Banyaknya nama keris berdasarkan mata, hulu dan sarungnya membuktikan bahawa kepelbagaian tersebut bukan sahaja pengaruh dari faktor kedudukan geografi, sejarah dan budaya tetapi juga kepekaan masyarakat Melayu untuk menitikberatkan aspek seni dan keindahan karya mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan