Muqadimah

Jumaat, 28 Februari 2014

KERIS - Nilai Intelektual

NILAI INTELEKTUAL DISEBALIK KEPERCAYAAN KEPADA KERIS

Masih ramai yang mempercayai bahawa keris mempunyai kuasa luar biasa sehingga dapat mempengaruhi kehidupan masyarakat. Kuasa luar biasa itu berbeza-beza pada setiap keris. Ada keris yang membawa tuah kepada pemiliknya dan ada juga yang membawa kecelakaan. Menurut kepercayaan, kuasa luar biasa itu ditimbulkan oleh bermacam-macam keadaan kerana jenisnya dan ada pula keris yang mempunyai daya magis kerana pamornya.


Adalah juga dipercayai terdapat juga keris yang diperbuat dengan cara picitan. Hal ini dapat dibuktikan dengan terjumpanya keris yang ada kesan jari jeas kelihatan pada matanya (Shahrum Yub, 1967). Keris ini dinamakan keris Picit dan mempunyai bentuk mata seperti keris Majapahit. Keris ini dipercayai diperbuat oleh orang yang mempunyai ilmu kebal dan diperbuat semasa dalam pertapaan. Gardner (1936) pula berpendapat bahawa seorang pandai besi yang mempunyai jari-jari yang tebal serta keras boleh menepa keris seperti ini setelah tangannya dicelupkan ke dalam minyak. Keris jenis ini biasanya mempunyai mata dan hulu yang bersambung terus dari sekeping besi.

Menurut kepercayaan orang Melayu, keris mestilah diperbuat daripada sekurang-kurangnya dua jenis besi. Pada awal pembuatannya, ia dipilih daripada besi yang diperolehi dari tahi bintang. Lama kelamaan mereka dapati keris begini amat lembut jika dibandingkan dengan keris yang diperbuat daripada besi campuran. Dalam zaman peralihannya, untuk menghasilkan kersi yang baik lebih banyak campuran besi digunakan. Campuran besi tersebut dipercayai mendatangkan kesaktian pada keris, yang mana lebih campurannya maka lebih saktilah keris tersebut. Keris Laksamana Hang Tuah misalnya dipercayai ditempa daripada 20 jenis besi.

Di Cerebun , seorang pemakai membuat sebilah keris untuk mempertahankan diri dan sebagai penggerun (untuk dijauhi dari musuh bukan mencari musuh). Besi yang digunakan adalah besi 7 ‘pe’ (huruf jawi) besi ini disuruh cari di 7 pengkalan atau 7 kuala sungai, 7 daerah atau negeri oleh si pemakai sendiri, pada hari Jumaat. ‘Pe’ yang dimaksudkan ialah paku, parang, paying, puting, pahat, pedang, dan pemukul. Pandai besi yang berilmu mengadun serta menempa mengikut ukuran si pemakai. 1 jengkal jari, tangan di tempat pada hari Jumaat sahaja iaitu 7  kali Jumaat selepas Subuh. Bagi menyiapkan keris ini mengambil masa 4 bulan.

Masyarakat kelas bawahan mempercayai pamor Wos Wutah (Beras Tumpah) adalah ibu segala pamor yang melambangkan Kuasa Pelindung dan Kuasa Rezeki. Masyarakat kelas pertengahan menganggap pamor seperti Pamor Batu Lapak, Kul Butet, Ngulit Semangka yang dikatakan darjatnya lebih tinggi berbanding dengan yang sebelumnya. Masyarakat kelas atasan mempercayai pamor seperti Pamor Nur, Pamor Raja Sulaiman, Hujan Emas, Pancuran Mas melambangkan kekuasaan, kekayaan dan keselamatan.

 NILAI INTELEKTUAL PADA KERIS

Menurut kajian para ahli sejarah, keris hanya terdapat di Asia Tenggara khususnya di kepulauan Nusantara. Oleh kerana keadaan geografi kepulauan Nusantara yang terpisah antara satu sama lain, keris mengalami perkembangan yang berbeza, meliputi bentuk, nama dan fungsinya dalam kehidupan masyarakat.
Keris adalah pencatuman dari beberapa elemen yang menjadikannya satu ciptaan yang mengandungi seni halus dan seni ukir yang sukar ditandingi. Antara nilai intelektual pada keris ialah;
a. Bentuk matanya yang berluk misalnya, mencerminkan bentuk yang kukuh dan tegas namun tidak kaku dan keras. Bentuk mata keris yang berluk dapat melambangkan hubungan orang Melayu dengan air (sungai dan laut), di mana mata keris dibentuk membayangkan gelombang di laut atau arus air sungai yang terus mengalir ke kuala. Kata-kata “dalam tegak ada bengkoknya, dalam bengkok ada tegaknya”, adalah cerminan dari hubungan tersebut.

b. Mata keris memainkan peranan utama dimana baik buruknya dinilai pada matanya. Ciptaan ini sama ada mata keris itu berluk maupun keris lurus, kita akan terbayang kepada bentuk nyalaan api atau lidah api. Manifestasi ini merupakan suatu karya imaginatif yang sangat tinggi nilai seninya.

c. Sekiranya keris itu dilihat pula secara keseluruhan dengan sampirnya maka akan tampaklah satu jalinan yang harmonis, penting sekali ialah yang terdapat di beberapa cirri seni ukir yang dipaparkan dan juga jenis pamor yang dibenruk mengikut ciptaan tersendiri dan ilham yang terjalin pada kepakaran pandai besi.

d. Fungsi ganja ialah untuk menyelamatkan buku lali tangan dari mata keris musuh semasa bertikam.

e. Sebuah hasil kerja tangan halus yang menjadi pewaris orang Melayu diseluruh rantau dunia Melayu ini, baik dimana juga bangsa rumpun Melayu akan faham apabila disebut perkataan keris, iaitu sebutan Melayu yang tidak dapat diistilahkan ke bahasa asing.

f. Masyarakat Melayu membersihkan keris menggunakan air kelapa. Air kelapa diambil daripada buah kelapa sebelah matahari naik. Berdasarkan kajian buah kelapa sebelah matahari naik apabila dipotong bahagiannya lebih kuat pancutan airnya manakala buah kelapa sebelah matahari jatuh lebih lemah pancutan air.

Seorang pembuat keris yang mahir dikenalai sebagai “pandai besi”, di mana beliau mempunyai pengetahuan mengenai jenis-jenis besi, campuran besi yang terdapat dalam sesuatu sebatian malah ia mengetahui selok belok tentang besi. Seorang pandai besi memerlukan alat-alat yang membolehkannya menempa, mengelok dan membentuk kepIngan-kepingan besi dengan sempurna. Pembuat keris awal tidak mempunyai sebarang peralatan yang moden serta berteknologi tinggi. Bagi mereka dengan keadaan pembuatan yang masih mundur, kepakaran serta kebolehan mereka matlah menakjubkan. Alat-alat yang mereka gunakan adalah peralatan yang mudah diantaranya ialah penggalas, dapur, tukul-tukul, pahat kikir dan lepa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan