Muqadimah

Sabtu, 8 Februari 2014

KERIS - Pengenalan Mengenai Keris


 
Sejak awal zaman, melalui pengalaman yang dilalui manusia mempunyai kemampuan mencipta peralatan untu kegunaan harian. Kegiatan membuat peralatan seperti alat perburuan atau alat perhiasan diri telah melatih manusia menjadi insan yang mempunyai kepekaan dalam mengenal bentuk dan fungsi. Disamping itu melalui kepekaan terhadap keindahan alam sekitar telah digabungkan ke dalam bentuk fungsi suatu alat. Kepintaran, kesabaran, ketekunan, dan keupayaan manusia menggabungkan antara kehidupan, bentuk dan fungsi ke dalam ciptaan mereka telah melahirkan hasil seni yang tinggi nilainya. Oleh itu pancaran budaya suatu bangsa dapat dilihat dengan nyata pada hasil seni seperti lagu, kesusasteraan, lukisan, pertukangan dan ukiran. Hasil seni yang mempunyai kehalusan tersendiri itulah yang sering dianggap mempunyai nilai budaya tersendiri. Di rantau ini, kesenian suatu karya juga dapat dilihat dalam senjata-senjata masyarakat Melayu.  


Keris merupakan senjata tradisional yang menjadi kebanggaan orang Melayu. Kerja untuk menghasilkan keris memerlukan kreativiti. Kreativiti ini memerlukan kemahiran kerja tangan yang digabungkan dengan ketajaman minda dalam mengolah, memproses dan membuat keris. Cetusan kemahiran tangan manusia telah lahir sejak kewujudan manusia di dunia ini, bemula dengan penghasilan barang keperluan harian telah membawa kepada peralatan penggunaan adat dan hiasan. Masyarakat Melayu yang kaya dengan budaya memperlihatkan kemewahannya melalui kemahiran seni dan kemahiran tangan mereka. Budaya yang dijunjung mereka lazimnya dikaitkan dengan cara sesebuah masyarakat berusaha memenuhi keperluan asasi mereka dan ianya berkembang secara kompleks sejajar dengan tuntutan semasa. 

Kraf keris mengalami proses pewarisan zaman berzaman dengan lakaran sejarahnya sendiri. Pembuatan keris telah berakar umbi sejak ratusan tahun masih lagi diusahakan walaupun telah mengharungi pancaroba budaya dan pembangunan adab manusia. Kemahiran membuat keris secara tradisi masih dikekalkan bertapak dan menempatkan dirinya sebagai salah satu artifak budaya yang terus menjadi kebanggaan sepanjang zaman. Pengekalan kemahiran ini ada hubungkait dengan sejarah dan kemunculan tamadun bangsa Melayu sejak ribuan tahun yang lampau. 

Keris adalah khazanah warisan yang mempunyai perkaitan dengan budaya masyarakat yang menggambarkan peradaban bangsa Melayu. Selain digunakan sebagai senjata untuk menikam musuh di zaman tradisional, keris juga dianggap sebagai satu alat atau lambing kebesaran bagi raja-raja yang memerintah. Zaman semakin berubah. Kini, hasilan kraf keris masih digunakan dalam acara-acara adat sebagai pelengkap dan penyeri majlis seperti pertabalan raja-raja, perkahwinan dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan