Muqadimah

Rabu, 26 Februari 2014

KERIS - Proses Pembuatan Keris

BAHAN DAN ALAT YANG DIGUNAKAN MEMBUAT KERIS

Peralatan yang digunakan untuk membuat keris ialah:
i. Musang
Alat yang paling penting dalam kerja pertukangan besi. Ia diperbuat daripada kayu dan berbentuk tong panjang. Berfungsi untuk mengepam dan menghembuskan angin yang terperangkap masuk ke dalam saluran dapur untuk menempa besi. Musang juga dikenali dengan pelbagai nama, contohnya di Perak dikenali sebagai ‘kelubung’, dan ‘hembusan’ di Kelantan.

ii. Andas
Landasan yang diperbuat daripada sekeping besi tebal dan diletakkah di atas sebongkah kayu. Digunakan sebagai tempat untuk mengetuk, menitik dan menempa besi yang panas.
iii. Lepa
Sejenis alat pemotong besi. Bentuk mata lepa kelihatan seperti pahat yang disepitkan di antara dua keping buluh dan diikat kemas.
iv. Tukul
Digunakan untuk menempa alat-alat besi yang matanya nipis.
v. Tukul puting
Berbentuk segiempat dan digunakan untuk mengasak masuk puting parang atau keris ke dalam hulunya.
vi. Kikir
Mempunyai pelbagai saiz. Kikir digunakan untuk melicinkan dan menghaluskan mata keris yang telah dibentuk.
vii. Penyepit
Digunakan untuk memegang besi yang panas semasa kerja-kerja menempa dijalankan.
viii. Penyepuh
Tong kayu berisi air. Alat ini digunakan sebagai bekas untuk menyepuh alat-alat besi yang telah ditempa, diketuk, dan dikikir supaya sejuk, tajam, kukuh dan tahan lama.
ix. Ragum besar
Berfungsi sebagai pemegang atau penyepit sesuatu bahan. Digunakan untuk mengapit mata dan hulu keris bagi tujuan memudahkan kerja, terutamanya bagi membentuk dan mengikir.
x. Jara sila
Jara sila digunakan untuk membuat lubang pada hulu.
xi. Temin
Temin diperlukan untuk mengetatkan alat-alat besi di pangkal hulu.
xii. Arang
Arang digunakan sebagai bahan api untuk membakar.
xiii. Pahat
Merupakan alat besi yang mempunyai mata yang tajam. Digunakan untuk membuat lubang dan mengukir. Terdapat dua jenis pahat yang utama, iaitu pahat mata bulat dan pahat mata lintang.

PROSES PEMBUATAN KERIS

Secara umumnya, proses membuat senjata seperti keris merupakan proses menempa hingga terbentuknya mata keris. Proses menghasilkan mata keris adalah seperti berikut;
i. Proses Mencampurkan Besi.

Bahan campuran yang terdiri daripada pelbagai jenis besi seperti besi waja, besi tawar dan besi melela diikat kemas sebelum dibakar untuk dimampatkan menjadi satu kempingan logam aloi.

Kepingan-kepingan besi diletakkan di antara besi-besi yang berbentuk bengkuk-bengkuk di mana ia akan membentuk corak-corak pada matanya. Kepingan besi tersebut dipanaskan sehingga panas merah menyala lalu diatasnya diketukkan dengan kepingan logam yang bengkuk-bengkuk tadi dan dipanaskan lagi sehingga merah menyala. Kepingan logam yang bengkuk-bengkuk tadi diketuk pada kedua-dua bahagian kepingan besi yang sekeping itu. Ia diketuk dan dipanaskan berkali-kali sehingga besi itu menjadi satu.

ii. Proses Menempa.

Besi dibakar dan diketuk secara bertalu-talu sebelum dipotong. Setelah dipotong, mata besi itu dipanaskan semula dan diketuk berulang kali. Proses ini berterusan sehingga bentuk mata keris mula terbentuk.

Semasa proses pemanasan dan ketukan yang dilakukan terdapat pencatuman yang tidak begitu sempurna antara kepingan-kepingan besi tersebut. Percantuman yang tidak begitu sempurna ini menghasilkan corak yang menarik yang dinamakan pamor. Pemanasan ini juga menyebabkan sebahagian daripada besi tersebut mencair terutama bahagian luarnya. Dengan ketukan yang dibuat, bahagian besi yang cair tersebut akan menutup corak-corak pamor yang terhasil daripada campuran besi tersebut. Maka dengan kaedah tradisional ini para pembuat keris mempunyai ramuan masing-masing dalam cara menimbulkan kembali corak-corak pamor tersebut.

iii. Proses Membuat Lok Keris.

Apabila mata keris telah terbentuk nyata, mata keris akan dibakar lagi dan seterusnya ditempa dengan cara mereng, hingga terbentuk seperti membengkok le bawah. Mata keris yang telah bengkok tadi seterusnya dipalingkan ke arah bertentangan dan ditempa lagi hingga ia membengkok ke bawah seperti tadi, kaedahnya sama, Cuma bezanya kedudukan dianjakkan sedikit ke atas bilah. Kaedah yang sama dilakukan berterusan dengan cara berselang-seli hingga habis hujung ke bilah.

iv. Proses Membentuk Belalai Gajah.

Membentuk ‘belalai gajah’  yang menyerupai  belalai seekor gajah dengan kedudukan belalainya di bahagian atas. Belalai gajah ini diketuk selepas dibakar. Kemudian dibiarkan sejuk dan seterusnya dikikir.

v. Proses Mengikir

      Proses ini dibuat dengan tujuan untuk melicinkan dan menajamkan mata keris.

 vi. Proses Menyepuh
Keris yang telah siap ditempa akan dibakar sehingga menjadi merah dan dimasukkan sama ada secara melintang atau menegak ke tempat menyepuh yang mengandungi air. Proses ini akan dilakukan secara berulangkali.  Tujuannya adalah untuk menghasilkan corak pamor.

vii. Proses Menimbulkan Pamor
Keris yang telah siap dikikir, direndam dalam larutan cuka getah dan air. Kemudian mata keris dicuci dengan air dan diberus menggunakan sabut kelapa.

 
PROSES KEMASAN

Keris yang telah melalui proses pemanasan dan membentuk, dicampurkan di dalam campuran air nasi, belerang dan garam serta dipanaskan selama seminggu. Bahagian-bahagian yang diperlukan seperti mata dilindungi oleh sejenis pelapis yang akan menghalang bahagian-bahagian tersebut terhakis. Setelah satu minggu keris tersebut dibersihkan dengan air kelapa muda atau air nenas, kemudian ia disapu dengan air limau nipis, karat yang ada dibersihkan dengan warangan (arsenic) dan disapukan dengan minyak kelapa.

i. Melangir Keris

Kepercayaan masyarakat di kepulauan Nusantara bahwa keris adalah senjata keramat dan mempunyai ‘kuasa’. Keris perlu dijaga dan dihormati. Keris perlu dicuci dan dimandikan, proses ini lebih dikenali sebagai melanggir atau sintuk limau.

Keris dicuci, dirawat dan dibilas dengan menggunakan batang pisang, air kelapa muda, buah mengkudu, buah nanas, limau nipis, daun pandan dan bunga-bungaan yang berbau wangi.

Tanpa kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi, proses mencuci keris boleh merosakkan lagi mata keris kerana bahan-bahan yang digunakan mempunyai kandungan asid. Oleh itu, orang yang berpengalaman sangat diperlukan untuk melanggir. Kemenyan pula digunakan untuk mengering dan mewangikan mata keris.

ii. Mencuci Keris (Sintuk Limau)

Oleh kerana keris disifatkan kawan kepada pemiliknya maka ianya dijaga dan dibelai dengan sebaik jagaan. Ianya disintuk limau. Sintuk limau ialah proses mencuci, merawat dan menyimpan keris dengan betul supaya tidak berkarat dan boleh digunakan bila-bila masa yang diperlukan.
a. Bahan yang diperlukan
1. Batang pisang berukuran satu meter panjangSebiji kelapa muda
2. Beberapa biji buah mengkudu
3. Beberapa biji buah nanas muda
4. Beberapa biji buah limau nipis
5. Batang buluh mengikut ukuran panjang keris yang hendak dicuci atau alat untuk merendam.
6. Beberapa batang lidi
7. Kain bersih dan kain perca
8. Bunga tujuh jenis, daun pandan dan air bersih
9. Bekas bara dan kemenyan
10. Lilin atau minyak keris
11. Minyak wangi atau warangan

 b. Cara mencuci

1. Pertama:
Tikamkan keris beberapa kali ke batang pisang sehingga keris itu basah. Getah batang pisang akan dapat mencuci kotoran dan karat pada mata keris tersebut.

2. Kedua :
Belah beberapa biji buah limau nipis. Gosokkan ke bilah mata keris yang telah ditikamkan ke batang pisang untuk menghilangkan saki baki karat yang ada padanya. Jika tiada buah limau nipis, boleh juga digunakan buah nanas muda atau buah mengkudu. Kadang kala batang lidi juga digunakan untuk mencungkil kotoran yang melekat di celah-celah mata keris.

3. Ketiga :
Belah buah kelapa muda dan masukkan airnya ke dalam ruas buluh yang telah disediakan. Rendamkan mata keris ke dalamnya selama lebih kurang 24 jam.

4. Keempat :
Mata keris dikeluarkan dari ruas buluh atau bekas rendaman. Seterusnya, mata keris tersebut dicuci menggunakan air bersih serta jernih. Sekiranya masih terdapat tanda-tanda karat pada keris, cuci lagi dengan menggunakan buah limau nipis hingga bersih. Bilas mata keris dengan menggunakan air bersih dan akhir sekali dengan air rendaman tujuh jenis bunga yang wangi. Kemudian sandarkan keris tersebut hingga kering. Kain yang bersih juga boleh digunakan untuk mengelap bilah mata keris, dengan menggenggam sebahagian demi sebahagian mata keris tersebut sehingga kering.

5. Kelima :

Perasapkan keris tersebut dengan kemenyan. Apabila mata keris cukup panas, sapukan minyak atau lilin untuk mengelakkannya daripada berkarat semula. Keris juga boleh disapukan dengan menggunakan  minyak wangi untuk mendapatkan bau yang harum. Akhir sekali, mata keris yang telah siap dicuci akan dimasukkan ke dalam hulu dan sarung sebelum disimpan.

2 ulasan:

  1. assalamualaikum tuan.. bagaimana pula jika kalau menggunakan billet damascus corak ladder..
    dan setelah selesaikan membentuk dan kikir bilah ianya menjadi bersinar seperti besi biasa..
    bagaimana untuk timbulkan bentuk corak ladder seperti asal billet damascus yang digunakan tadi?

    BalasPadam
  2. salam.. bagaimana nk mengetatkan hulu keris.. ia selalu berpusing dan longgar..

    BalasPadam