Muqadimah

Jumaat, 14 Februari 2014

KERIS - Sejarah Keris

SEJARAH KERIS

 Zaman Paleolitik (Zaman Batu Lama) 

Kebudayaan Paleolitik merupakan tahap terawal masyarakat prasejarah di negara ini. Ciri-ciri budaya ini diwakili oleh alat-alat batu jenis kuarzit dengan kesan repihan yang paling minimum pada satu bahagian. Alat-alat batu tersebut berfungsi sebagai alat untuk memotong, membelah, meraut dan mencungkil. Alat-alat batu ini dihasilkan oleh masyarakat yang mendukung budaya memburu dan mengumpul pada zaman pleistosen dengan pentarikhannya dari 40000 tahun hingga ke 200 000 tahun.

Pisau batu adalah antara peralatan awal yang digunakan oleh masyarakat dahulu kala. Pisau ini tidak mempunyai pemegang atau tidak berhulu. Selain digunakan untuk menjalankan kerja harian seperti memotong dan menghiris, alat ini juga digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri.
Beliung batu atau dikenali juga sebagai kapak batu merupakan senjata primitif yang popular dikalangan masyarakat awal. Ia diperbuat daripada batu pipih yang tumpul mahupun telah ditajamkan sebahagiannya. Kepingan batu ini diikat dengan sebatang kayu mahupun tulang haiwan yang berfungsi sebagai pemegang. Beliung batu digunakan secara meluas dengan cara menghentak atau menghentam objek disamping turut digunakan untuk memotong atau melapah.

 Zaman Neolitik (Zaman Batu Baharu)

Kewujudan masyarakat yang mendukung budaya Neolitik atau batu baharu adalah berdasarkan penemuan alat-alat batu bercanai seperti kapak, beliung serta tembikar tanah yang berkualiti. Penemuan alat-alat ini membuktikan bahawa masyarakat Neolitik telah melalui satu perubahan dari segi kehidupan serta pencapaian teknologi yang membawa perubahan corak kehidupan daripada masyarakat memburu dan mengumpul yang berpindah randah kepada kehidupan masyarakat petani yang hidup menetap. Penemuan alat-alat seperti kapak, beliung, pahat dan pisau batu membuktikan bahawa masyarakat Neolitik ini mempunyai kemampuan untuk melakukan kerja-kerja menebang dan menebas dengan tujuan untuk membuka ladang bagi bercucuk tanam dan menternak binatang. Pentarikhan bagi kebudayaan Neolitik adalah diantara 4000 SM hingga 1000 SM dahulu.

Zaman Logam

Kemajuan dan kemampuan untuk bercucuk tanam serta menternak binatang memberikan asas ekonomi yang penting bagi perkembangan dan kemajuan pembangunan tamadun awal di negara ini. Kemajuan dari segi teknik bercucuk tanam yang awal ini adalah berkisar dari segi pengetahuan membuat dan menggunakan alat-alat logam dalam kehidupan mereka seharian. Perkembangan zaman logam di negara ini juga adalah berdasarkan penemuan alat yang diperbuat daripada gangsa seperti beliung dan kapak serta alat-alat yang diperbuat daripada besi yang dikenali sebagai tulang mawas. Penemuan alat-alat gangsa ini tersebar di Negara ini melalui perdagangan pada abad perama hingga ke 11 Masihi.

Gendang Gangsa (Gendang Dongson)

Gendang gangsa atau gendang Dongson merupakan bukti kukuh yang menunjukkan masyarakat zaman budaya Dongson telah mula menggunakan logam untuk membuat peralatan dalam kehidupan mereka. Penemuan gendang gangsa terawal dipercayai dihasilkan di lembah Vietnam Selatan di sekitar tahun 3700 Sebelum Masihi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan