Muqadimah

Ahad, 2 Ogos 2015

HUBUNGAN KREATIVITI DENGAN KANAK-KANAK


Seni lukis dan kreatif adalah seiring. Kreativiti sering dikaitkan dengan seni lukis. Apakah yang dimaksudkan dengan kreatif? Kreatif adalah semua tentang imaginasi individu itu untuk membuat perkara-perkara baru. Kreatif datang dengan idea-idea baru.Semua orang adalah kreatif.Pemikiran kreatif mengambil masa untuk menjadi amalan. Kreativiti banyak memberi keseronokan kepada individu tersebut.

DEFINISI KREATIF


Perkataan kreatif berasal daripada perkataan Latin iaitu creare yang bermaksud membuat. Krainein dalam bahasa Greek yang bermaksud memenuhi dan dalam bahasa Inggeris pula ialah create yang bermaksud cipta. Kamus Dewan (1993) memberikan maksud kreativiti sebagai kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif dan kekreatifan. V. Mike, 1995 menyatakan kreativiti adalah membuat sesuatu yang baharu dan menyusun semula sesuatu yang lama. Amabile, 1999 pula menyatakan kreativiti ialah sesuatu atau beberapa proses yang asal, baru, idea spontan, dan dalam sesetengah kes menjadi sangat berguna. Tanggapan yang berbeza tentang pengertian kreativiti adalah lumrah. Ini kerana tanggapan bergantung dari sudut pandangan pemahamam masing-masing. Menurut kamus Webster’s (1976), pemikiran kreatif ialah keupayaan untuk membawa sesuatu kewujudan baharu. Definisi ini bermaksud kreativiti ialah kebolehan mewujudkan sesuatu yang baharu.

 

Kreativiti ialah suatu bidang disiplin ilmu yang dibincangkan secara ilmiah. Ahli falsafah Greek yang terkenal seperti Plato, Aristotle, Immanuel Kant juga pernah membicarakan mengenai ilmu kreativiti. Mereka menganggap hanya individu genius sahaja mempunyai kreativiti yang tinggi. Pada pandangan mereka kreativiti adalah suatu kuasa alamiah yang hanya dimiliki oleh individu-individu tertentu.Rothenberg dan Hausman menyatakan bahawa pada abad ke-20 kajian kreativiti telah dijalankan. Kajian dan penyelidikan saintifik dilakukan di makmal secara pendekatan penyiasatan yang pelbagai seperti prosedur ujian psikologi, analisis statistik, deskripsi klinikal, spekulasi quasi-empirikal, dan kajian berbentuk filosofikal(2). Tokoh terawal yang melakukan kajian secara saintifik ialah Francis Galton.


Kini, kreativiti menjadi suatu bidang yang amat menarik kerana para pengkaji berupaya mengemukakan dan mepertahankan hipotesis mereka tentang diri manusia.Mereka mendapati kreativiti wujud dalam diri manusia. Sesetengah orang mempunyai daya kreatif yang lebih dan sesetengah orang lagi kurang daya kreatif namun begitu tidak ada sesiapapun yang benar-benar kekurangan dalam kreativiti.
 
 

 
____________________________________________________________________________
 (2) Azhar Abd. Hamid, Mohd. Koharuddin Balwi, Mohammad Fauzi Othman & Othman A. Kassim, Rekacipta & Inovasi Dalam Perspektif Kreativiti, UTM, 2006, ms 1
 

 

1 ulasan: