Muqadimah

Ahad, 2 Ogos 2015

PERANAN SENI LUKIS DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

Seni Lukis juga penting dalam pembangunan negara. Ini kerana melalui seni lukis dapat mewujudkan satu identiti kebangsaan, seni lukis juga merupakan wadah pembentukan budaya nasional, seni lukis dapat menyalurkan fikiran dan idea budaya bangsa, dapat melambangkan masyarakat Malaysia. Melalui seni lukis juga nilai-nilai budaya Malaysia akan dapat tersebar luas. Melalui seni lukis dapat mencerminkan kehidupan masyarakat, dapat memberi pedoman dan iktibar, kelemahan masyarakat dapat diketengahkan. Unsur-unsur yang diketengahkan melalui seni lukis dapat memajukan masyarakat.


Melalui seni lukis juga semangat nasionalisme dapat disebarkan. Ini kerana seni lukis dapat memaparkan kezaliman penjajah dan penderitaan hidup kita. Terdapat banyak karya kreatif bernada patriotik dan anti penjajah. Seni lukis juga dapat memupuk semangat nasionalisme dan mendorong usaha mencapai kemerdekaan.


Dalam pembangunan negara, seni lukis dapat meningkatkan imej Negara. Karya-karya pelukis kita yang terkenal mendapat pengiktirafan antarabangsa. Mereka dijemput untuk memberi ceramah di luar negara.
 

Contoh Genre Seni Lukis yang Diterima Pelbagai Lapisan Budaya.


Berkaitan dengan budaya, seni lukis dapat meningkatkan kesedaran kanak-kanak terhadap kepelbagaian budaya di Malaysia. Malaysia mempamerkan keunikan masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum yang mengamalkan pelbagai budaya dan menganuti pelbagai agama.Walaupun wujud kepelbagaian budaya dan agama, penduduk Malaysia hidup dalam suasana harmoni. Perpaduan dalam kepelbagaian ini dicerminkan dalam festival- festival atau perayaan. Perayaan kaum yang didasarkan kepada amalan agama atau adat resam mewakili kaum-kaum berkenaan yang diraikan khusus oleh kaum-kaum tersebut. Mereka berkongsi perayaan dengan kaum-kaum lain melalui amalan ziarah-menziarahi atau menghadiri rumah terbuka. Selain itu kepelbagaian budaya di Malaysia dapat dilihat melalui pelbagai genre seni lukis. Antara genre seni lukis ialah lukisan, catan, seni lukis batik, seni lukis wayang kulit dan sebagainya.

 
Seni Lukis Batik

 Definisi batik dipercayai berasal daripada Indonesia yang mana diambil daripada perkataan Melayu untuk titik dan Jawa 'mba' ertinya menulis. Oleh itu batik bererti menulis titik-titik yang dimaksudkan di sini sama ada berupa titik-titik dalam ertikata sebenar atau berupa bunga-bunga dan lain-lain motif kecil di atas permukaan kain. Kemudian, teknik untuk mewujudkan motif-motif itu bergantung pada zaman dan ruang. Seni batik telah menjadi satu simbol kebudayaan nasional sebab telah mendapat penerimaan seluruh masyarakat Malaysia dan dunia. Perusahaan batik di Malaysia dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu Batik Blok, Batik Tulis, Batik Skrin serta Batik Pewarnaan Asli, dan setiap satunya mempunyai keistimewaan dan keunikan yang tersendiri. Pelukis batik menggunakan canting untuk melukis. Canting merupakan bekas tembaga kecil bagi menakung lilin cair yang panas didalamnya serta mempunyai saluran kecil yang dapat mengeluarkan lilin cair. Ia mempunyai pemegang supaya mudah digunakan. Canting disikan dengan lilin panas dan dilukiskan melalui hujung saluran canting ke atas kain yang telah diregangkan di atas pemidang mengikut rekacorak yang dikehendaki. Kain yang telah dicanting diwarnakan, dikeringkan, dimatikan warna dan direbus bagi mengeluarkan lilin sebelum dikeringkan sekali lagi.

 
Seni Lukis Wayang Kulit

Selain batik, bentuk seni lukis tradisional lainnya adalah seni lukis wayang kulit. Secara konseptual, seni lukis wayang kulit cuba mengangkat bentuk seni tradisi secara vital (yang berhubung dengan kepentingan atau keperluan hidup) dalam mencorakkan garapan idea. Wayang kulit adalah satu permainan tradisi yang menggunakan patung2 wayang dengan iringan alat muzik tradisional. Patung-patung wayang di bentuk, di tatah dan di ukir mengikut kehendak watak-watak dalam cerita yang di lakonkan. Di Malaysia, terdapat empat jenis wayang kulit iaitu Wayang Kulit Kelantan, Wayang Kulit Melayu, Wayang Kulit Gedek dan Wayang Kulit Purwa. Wayang kulit melayu ini lazimnya terdapat di Pantai Timur terutamanya Kelantan dan Terengganu. Sejauh yang dapat dikesan, patung wayang kulit Kelantan terawal dan tersimpan dengan baik masih terdapat di Cambridge University adalah milik Dalang Abas (WW Skeat: 2005). Sebanyak 149 patung Wayang Kulit diperolehi oleh Skeat ketika beliau bertugas di Daerah Kuala Langat, Selangor dari tahun 1886 hingga 1897.


Dari dunia panggung dan bayang, wayang kulit dalam bentuknya yang tradisi berubah ke kanvas pelukis mengikut ekspresi yang dipilih oleh pelukis. Antara pelukis moden terawal tanah air yang memindahkan tradisi wayang kulit ke dalam karya mereka antaranya Nik Zainal Abidin Nik Salleh dan Yusoff Abdullah. Pemindahan elemen tradisi dalam karya seni lukis ini kemudiannya diteruskan oleh pelukis-pelukis yang terkemudian dengan menggunakan tema dan teknik yang berbeza mengikut konsep, aliran dan kefahaman yang diingini oleh seseorang pengkarya itu.


Kebiasaannya pelukis yang memindahkan tradisi Wayang Kulit ke kanvas mereka mempunyai kaitan dengan negeri Kelantan, tanah tempat popularnya teater tradisi itu, sama ada mereka dilahirkan di Kelantan atau pernah menetap dan belajar di sana. Nik Zainal Abidin, Yusoff Abdullah, Romli Mahmud, dan Termize Mukhtar memang dilahirkan di Kelantan. Manakala pelukis Abd. Rani Abd Majid walaupun berasal dari Pahang tetapi pernah menetap lama di Kelantan kerana mengikut bapanya bertugas di sana. Bersekolah di sana dan selepas waktu Isyak akan keluar bersama ibunya pergi menonton persembahan wayang kulit. Nostalgia dan tradisi itu ikut dipindahkan ke dalam karya seni tampaknya. Sama juga dengan Dr. Ahmad Najib Mohamad Dawa, walaupun dilahirkan di Karak, Pahang tetapi pernah bersekolah di Kota Bharu. Tanah tradisi dan tempat persinggahan akan memberikan kesan kepada jiwa untuk merakam apa yang dilihat dan dimesrai.


Pengutaran aspek unsur Islam dalam mural ini dilakukan menerusi pengolahan bentuk-bentuk klasik yang terdapat dalam rekabentuk geometrik seni Islam yang pada dasarnya mencerminkan konsep imbangan, aturan, kejelasan dan keharmonian. Dalam untuk mengambarkan aspek kehidupan orang Melayu motif-motif pucuk rebung, salur bayur dan kerawang contohnya yang pada dasarnya mempunyai pengertian yang mendalam dari segi falsafah dan falsafah hidup bangsa Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan