Muqadimah

Ahad, 2 Ogos 2015

SENI LUKIS DAPAT MENINGKATKAN KESEDARAN TERHADAP KEPELBAGAIAN BUDAYA DI MALAYSIA

Dalam masyarakat, wujud unsur-unsur jati diri budaya bangsa. Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Bajau, Orang Asli, dan bangsa-bangsa lain. Terdapat dua kumpulan masyarakat iaitu masyarakat majoriti dan minoriti. Kedua-dua kumpulan ini mempunyai latar belakang kebudayaan, kepercayaan dan adat istiadat yang berbeza-beza. Cabaran paling besar dalam negara berbilang kaum adalah perpaduan. Perpaduan kaum hanya dapat dikekalkan melalui jalinan mesra budaya kebangsaan. Ini dapat menghindarkan perasaan buruk sangka antara kaum dikalangan rakyat sama ada berdasarkan agama dan kepercayaan, bangsa dan warna kulit, bahasa dan kebudayaan penduduk Malaysia.

 
Definisi Budaya

Iris Varner dan Linda Beamer dalam Intercultural Communication in the Global Workplace mendefinisikan kebudayaan sebagai pandangan yang koheren (berkait secara logik) tentang sesuatu yang dipelajari, yang dibagi, atau yang dipertukarkan oleh sekelompok orang. Menurut Levo-Henriksson (1994) kebudayaan itu meliputi semua aspek kehidupan kita setiap hari, terutama pandangan hidup, apapun bentuknya, baik mitos mahupun system nilai dalam masyarakat.


Kebudayaan adalah perilaku yang telah tertanam, ia merupakan keseluruhan dari sesuatu yang dipelajari manusia, akumulasi dari pengalaman yang dialihkan secara sosial dalam bentuk perilaku melalui pembelajaran sosial. Kebudayaan juga merupakan pandangan hidup dari sekelompok orang dalam bentuk perilaku, kepercayaan, nilai, dan simbol-simbol yang mereka terima tanpa sedar dan tanpa difikirkan yang semuanya diwariskan melalui proses komunikasi dan peniruan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.

 
Budaya Menerusi Konteks Seni Lukis

June King McFee menekankan seni seharusnya mengambil kira konteks budaya serta elemen orientasi komuniti. Beliau mengkaji konteks budaya manusia di dalam sesuatu komuniti menjalankan kehidupan harian dan menterjemahnya dalam bentuk seni. Beliau menegaskan bahawa seni tidak seharusnya terhad kepada hasil karya seni sahaja, malah perlu ada pengalaman estetika di dalam semua objek di persekitaran yang dipengaruhi oleh konteks budaya untuk berkomunikasi dan menyampaikan mesej kepada masyarakat.


Victor Lowenfeld pula menyatakan semasa melaksanakan aktiviti seni, kanak-kanak akan menghadapi halangan dari dua aspek iaitu daripada segi psikologi serta persekitaran dan budaya. Guru harus bertindak dan membantu kanak-kanak menghadapi halangan-halangan yang wujud.


Carl Rogers juga mempercayai bahawa seseorang yang bebas dan bertanggungjawab akan memberi sumbangan kepada masyarakat sama ada dalam bentuk kreativiti di dalam bidang seni atau melakukan sesuatu yang terbaik dalam bidang yang diceburi. Tindakan yang diambil oleh seseorang yang bebas dan bertanggungjawab pasti mencetuskan keunikan dan kekuatan terhadap individu tersebut seperti penggunaan bahan seni secara kreatif dan memberi sumbangan kepada masyarakat.


Seni lukis merupakan bentuk seni rupa yang dilakarkan pada media kertas, kain, atau kanvas. Seni lukis mengekspresikan suatu keadaan atau khayalan dalam bentuk dua dimensi dengan menggunakan garis dan warna. Seni lukis sangat berhubung dengan gambar. Peninggalan-peninggalan prasejarah memperlihatkan bahawa sejak ribuan tahun yang lalu, nenek moyang manusia telah mulai membuat gambar pada dinding-dinding gua untuk menceritakan bahagian-bahagian penting dari kehidupan mereka.
 

Pameran Seni Meningkatkan Kesedaran Budaya


Sedar atau tidak Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan pada tahun 1971 yang merupakan kongres seni budaya yang terpenting dimana kerajaan, masyarakat dan ahli fikir dipersoalkan mengapakah seni yang berlaku pada waktu itu tidak memberi apa-apa kesan kepada identiti, budaya dan jati diri tetapi cenderung berkiblat kepada barat yang bersifat tiruan.


‘Manusia dan Alamnya’ merupakan karya komentar sosial yang pertama seumpamanya dihasilkan di Malaysia yang pada 1972. Ia merupakan tindak balas artis terhadap dunianya. Ia merupakan sebuah pengkajian antropologi manusia yang pelbagai dimensi, yang mempunyai pelbagai sifat, juga merupakan manusia yang terdiri daripada fizikal dan spiritual. Disamping itu ia boleh menjadi sebuah kajian akademik, sosial, seksual dan intelektual.


Dekad 1980 an selepas seminar dan pameran Akar-Akar Kesenian Peribumi dan Perkembangan Kini pada 1979 memperlihatkan fenomena pelukis Malaysia kembali mencari identiti Kemelayauan dalam pengkaryaan mereka. Siri Warna Wira adalah salah satu manifestasi terhadap gerakan itu. Maka lahirlah siri mural terpanjang daripada mozek kaca Itali bersaiz 10 kaki tinggi dan 168 kaki lebar dikomisenkan bertempat di Bangunan Umno , Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
 

Program Merakyatkan Seni Budaya


Pada 26 Januari 2005 menerusi cetusan idea dari YB. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim selaku Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Jemaah Menteri telah memutuskan agar Kementerian Penerangan dan Kebudayaan menjalankan Program Merakyatkan Satu Budaya .Tujuan Program Merakyatkan Satu Budaya adalah untuk mendekatkan masyarakat umum, khususnya masyarakat luar bandar agar lebih rapat dengan kegiatan seni budaya. Di samping untuk meningkatkan penyemarakkan seni di kalangan masyarakat setempat, Program Merakyatkan Satu Budaya juga begitu signifikan dalam memupuk nilai-nilai murni dan semangat kerjasama di kalangan masyarakat.


Kekuatan untuk merealisasikan program murni ini didasari atas fakta untuk memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya negara, di samping memupuk semangat kerjasama ke arah meningkatkan toleransi, keharmonian dan perpaduan selaras dengan pengukuhan jati diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.


Penganjuran Program Merakyatkan Satu Budaya juga merupakan strategi jangka panjang serta dianggap sebagai sebuah program penerusan Kementerian untuk memupuk pembangunan industri kreatif dalam pelbagai bidang seni budaya negara melalui ransangan penglibatan masyarakat luar bandar khususnya generasi muda. Kejayaan dan keberkesanan dalam penganjuran beberapa Program Merakyatkan Satu Budaya memberi idea sebagai titik permulaan Kementerian agar program ini diperluaskan di 222 kawasan Parlimen yang terdapat di Malaysia.


Matlamat utama Program Merakyatkan Seni Budaya dalam mendokong Gagasan 1Malaysia adalah seperti berikut:

i. Ke arah pembentukan masyarakat Malaysia yang berbudaya, berbudi bahasa dan     mempunyai nilai-nilai murni selaras dengan tuntutan dan prinsip-prinsip Rukun Negara serta Gagasan 1Malaysia.

ii. Sebagai langkah penerusan dan pengembangan seni dan budaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang merupakan warisan bersama.

iii. Membentuk dan mengukuhkan identiti bangsa Malaysia untuk mencerminkan semangat 1Malaysia.

iv. Memupuk masyarakat yang lebih kreatif dan mempunyai jati diri melalui aktiviti yang dijalankan.

v. Mengukuhkan integrasi dan perpaduan rakyat.

vi. Memperluaskan kegiatan seni dan budaya serta merangkumi kegiatan seni sebagai sebuah kerjaya pilihan untuk masyarakat dalam bidang seni dan budaya sebagai sektor yang menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan negara.

 
Strategi bagi menjayakan Program Merakyatkan Seni dalam mendukung Gagasan 1Malaysia dengan mewujudkan jaringan kerjasama dan perkongsian pintar dengan Kementerian-kementerian dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan, semua Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, badan-badan seni budaya, pemimpin masyarakat serta sektor swasta. Program Merakyatkan Satu Budaya melibatkan penyertaan agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) , Filem Negara Malaysia (FNM) , Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTAR), Jabatan Arkib Negara Malaysia, Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Jabatan Warisan Negara (JWN), Jabatan Muzium Malaysia (JMM),Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.


Kesemua agensi ini akan bertindak menyebarkan pengetahuan berkaitan bidang seni dan budaya serta warisan kepada masyarakat mengikut objektif tersendiri. Penerangan yang jelas diberikan kepada individu oleh wakil setiap agensi. Ianya melalui pameran serta permainan ringkas yang dianjurkan serta edaran lampiran, brosur dan sebagainya. Penggiat seni budaya dan pengusaha tempatan turut sama mewarnai aktiviti pameran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan