Muqadimah

Ahad, 2 Ogos 2015

SUMBANGAN SENI LUKIS KEPADA PERKEMBANGAN DAN PEMBELAJARAN KANAK-KANAK


Seni lukis sangat menyumbang kepada perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Ini kita dapat lihat pada buku-buku yang terdapat di pasaran sama ada buku teks, buku latihan mahupun sebarang buku yang berkaitan untuk kanak-kanak pasti ada ilustrasi. Bukan sahaja buku malahan bahan bantu mengajar untuk murid-murid sekolah rendah mesti mempunyai ilustrasi. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian mereka.

 

Kanak-kanak meluahkan apa-apa yang mereka lihat, menyamai konsep simbolik lukisan gua manusia primitif. Kanak-kanak mempraktikkan seni konseptual berbanding dengan seni persepsi. Ekspresi mereka diluahkan secara simbolik dalam representasi sesuatu bentuk dan elemen di dunia realiti. Kecenderungan kanak-kanak menggambarkan objek dalam bentuk geometri dan simbolik mejadi justifikasi pengamatan konseptual mereka, di samping keupayaan motor yang masih terbatas jika dibandingkan dengan manusia dewasa. Kanak-kanak menjadikan lukisan sebagai bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum mereka berupaya untuk bertutur. Ianya dijadikan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi.Ini kerana kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka.

 

Hasil kerja seni lukis yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak-kanak. Melukis juga merupakan aktiviti yang mampu memberikan kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan otot.Aktiviti sebegini juga dapat membantu menajamkan daya intuisi kanak-kanak. Aktiviti melukis dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera mereka.

 

Kanak-kanak tidak boleh belajar jika mereka hilang tumpuan dan menjadi tugas berat bagi ibu bapa dan guru untuk menarik perhatian mereka.Bagi mengekalkan tumpuan kanak-kanak kepada aktiviti membaca, menulis dan mengira, ibu bapa atau guru perlu merencanakan aktiviti lebih kreatif seperti melukis, menyanyi atau aktiviti seni dan kraf. Kanak-kanak secara semulajadinya akan gelisah dan resah jika dibiarkan berada agak lama di sesuatu tempat.

 

Jadi kita perlu merancang aktiviti pembelajaran yang cepat dan singkat. Kita tidak boleh mengharapkan mereka memberi perhatian penuh terhadap satu aktiviti dalam jangka waktu panjang kerana ia membosankan. Sebagai penyelesaian, aktiviti pembelajaran perlu singkat dan berfokus.Ini kerana faktor semula jadi. Berdasarkan kajian psikologi kognitif yang menjadi asas kepada kejayaan program pembelajaran kanak-kanak, mendapati kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun perlu melakukan aktiviti pembelajaran dalam lingkungan 20 minit. Kanak-kanak antara lapan hingga sembilan tahun dalam lingkungan 30 dan 40 minit.

 

Lukisan kanak-kanak dapat memberi lebih banyak maklumat tentang perkembangan mereka daripada catan kerana ianya menggunakan krayon, pensel dan pen. Alatan ini lebih mudah dikawal oleh kanak-kanak daripada mengguna berus dan warna. Melalui seni lukis juga pelbagai aspek dapat diterapkan kepada kanak-kanak. Antara aspek yang diperolehi oleh kanak-kanak ialah aspek kognitif, aspek fizikal, aspek kreativiti, aspek persepsi dan aspek sosial dan emosi.


Aspek Kognitif

 

Penganjuran aktiviti seni lukis yang tersusun dan terancang dapat melahirkan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah serta mampu membuat penilaian dan bijakmembuat keputusan.

 

Kebolehan kanak-kanak meluahkan nilai estetika mereka merupakan satu bentuk kemahiran kognitif yang bukan sahaja penting dalam perkembangan seni kanak-kanak malah amat penting dalam perkembangan pemikiran dan intelektual mereka

 
Aspek Fizikal

 

Penggunaan alat dan bahan memberikan satu bentuk latihan berkesan kepada otot tangan (psychomotor) dan koordinasi tangan serta mata

 

Aspek Kreativiti

 

Latihan dan projek yang bersifat terbuka dapat membantu murid untuk mengembangkan aspek kreativiti mereka. Aktiviti dan projek di dalam seni lukismengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir.

 

Aspek Persepsi


Murid boleh mempertingkatkan dan menajamkan penggunaan pancaindera dan deria melalui proses penghasilan dan hasilan seni,produk dan objek yang terdapat di sekeliling mereka.

Aspek Sosial dan Emosi


Murid boleh berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial selain meningkatkan keyakinan diri.Mata pelajaran pendidikan seni juga menganjurkan semangat bekerjasama di

dalam aktiviti berkumpulan yang dibentuk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan