Muqadimah

Sabtu, 22 Ogos 2015

TEKNOLOGI KOMPUTER MEMBANTU PENGAJARAN DALAM BILIK DARJAH

1.0 PENGENALAN
 

Adakah teknologi komputer dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah? Jawapan daripada saya ialah ya, dapat membantu. Kenapa teknologi komputer dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran? Teknologi komputer sangat membantu guru dari segi pengajaran dan membantu murid dari sudut pembelajaran.

Dalam dunia serba moden kini, peranan guru semakin mencabar. Guru dituntut untuk membina modal insan yang berkualiti. Guru dituntut agar dapat membimbing dan mengajar murid dengan cemerlang.


Guru perlulah rajin mencari, meneroka dan menyelidik apa jua ilmu sebelum mengajar anak didik. Menjadi guru adalah kerjaya yang menyeronokkan. Kita akan mengenal diri sendiri dan orang lain. Apakah masalah yang sering dihadapi oleh guru? Pada pandangan saya masalah utama guru ialah melaksanakan pengajaran di bilik darjah. Pelbagai masalah yang akan dialami. Masalah rutin dan juga masalah diluar sangkaan. Saya akan bincang dan kupas masalah yang dihadapi oleh saya sebagai guru tahap satu yakni guru yang mengajar murid tahun 1,2, dan 3.
 

2.0 MASALAH PENGAJARAN DI BILIK DARJAH
 

2.1 Pengurusan Bilik Darjah

Pengurusan bilik darjah yang berkesan akan membantu murid menerima pelajaran secara berkesan. Ini kerana proses pengajaran dan pembelajaran berkait rapat dengan suasana yang wujud di bilik darjah. Apakah faktor-faktor suasana bilik darjah? Kita sebagai guru sudah tentu memahaminya. Faktor keceriaan kelas, kebersihan, kedudukan kerusi meja murid adalah elemen yang perlu diambil berat sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Bagaimana murid mahu belajar sekiranya suasana kelas penuh dengan sampah, meja dan kerusi tunggang-langgang, dan kelas tidak ceria?. Pengurusan bilik darjah yang berkesan akan mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria dan juga pengurusan bilik darjah yang berkesan akan mengurangkan pelbagai masalah.


2.2 Masalah Disiplin Murid

Sebagai guru, sudah pasti kita akan berhadapan dengan murid. Murid  datang dalam pelbagai kehidupan sosio budaya. Ada pelbagai ragam murid. Macam-macam karenah murid akan guru hadapi. Ada yang sopan, berbudi bahasa dan ada yang degil, nakal malah ada yang kurang ajar. Situasai ini akan guru sentiasa hadapi di dalam kelas. Guru perlu bijak menanganinya. Menurut Gallup (1985), Masalah disiplin dalam bilik darjah merupakan satu masalah yang sering dihadapi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah(1).
 

2.3 Bilangan Murid yang Ramai

Bilangan murid yang terlalu ramai di dalam kelas juga sedikit sebanyak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Ada kelas bilangan muridnya mencecah tahap maksimum iaitu 45 orang. Keadaan ini menyebabkan guru sukar untuk mengawal kelas. Suasana bising akan wujud. Bukan semua murid yang berminat untuk belajar. Ada sesetengah murid akan hilang penumpuan selepas sepuluh atau lima belas minit sesi pengajaran bermula. Murid akan mula bercakap dan membuat bising. Masalah kawalan kelas menjadi lebih sukar apabila sekolah dua sesi dijalankan. Cuaca yang sangat panas di sesi petang ditambah lagi dengan bilangan murid yang ramai menjadikan suasana yang tidak selesa.


2.4 Murid Tidak Membawa Buku dan Kekurangan Bahan Rujukan


Seringkali terjadi murid tidak membawa buku teks ke sekolah. Bila ditanya kenapa tidak membawa buku teks? Jawapan yang biasa diterima ialah terlupa, tersilap jadual, buku hilang dan sebagainya. Proses pengajaran akan terganggu. Murid yang tidak membawa buku teks akan hilang fokus. Mereka akan mengganggu murid lain.

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, murid sekolah rendah terlalu bergantung kepada guru. Apa yang diberi oleh guru itu yang mereka terima. Bahan rujukan murid terhad hanya kepada buku dan guru. Pembelajaran menjadi kurang menarik apabila interaksi menjadi sehala. Hanya interaksi guru kepada murid. Interaksi murid kepada guru tidak berlaku kerana murid tidak tahu untuk bertanya. Ini kerana mereka tiada sumber rujukan. Aktiviti berkumpulan sukar dijalankan kerana masing-masing murid bergantung kepada guru. Pengetahuan sedia ada murid terlalu sedikit. Kajian yang dilakukan oleh Zaharah (2004) mendapati kekurangan bahan yang membawa kepada pergaduhan dalam kelas, sebahagian murid-murid tertentu yang kurang membabitkan diri dan memerlukan intervensi guru untuk membawa mereka ke dalam aktiviti tersebut, bilik darjah yang menjadi terlalu bising dan keengganan murid untuk beralih dari satu aktiviti-ke aktiviti yang lain(2).

 

2.5 Kesilapan Langkah-langkah Pengajaran dan Bahan Bantu Mengajar  yang Tidak Menarik
 

Perancangan dan langkah-langkah pengajaran sudah dirancang dengan teliti namun tetap gagal. Kita sentiasa mendengar ungkapan “kita merancang, Allah yang menentukan”. Kegagalan perancangan memberi impak dalam menentukan kejayaan objektif pelajaran. Penerangan dan arahan yang diberikan oleh guru tidak difahami oleh murid, menyebabkan masa yang digunakan untuk sesuatu aktiviti berlanjutan. Akhirnya pengajaran pada hari itu tidak dapat disudahkan.

Murid-murid yang berada di tahap satu masih lagi berada di zaman kanak-kanak. Mereka sentiasa mahukan sesuatu yang baharu dan boleh menarik perhatian mereka. Untuk menarik perhatian murid, guru memerlukan Bahan Bantu Mengajar (BBM) sebagai sokongan. BBM yang sering digunakan oleh guru ialah carta dan kertas mahjung. Banyak masa dan wang dihabiskan untuk membuat BBM.



3.0 BAGAIMANA TEKNOLOGI KOMPUTER DAPAT MENGATASI MASALAH PENGAJARAN DI BILIK DARJAH?
 

Guru perlu bijak menangani masalah yang berlaku. Setiap sesuatu masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Ada masalah boleh ditangani dengan cara tradisional dan ada masalah yang perlu ditangani mengikut arus semasa. Penggunaan kemudahan teknologi komputer amat membantu. Guru perlu melakukan pelbagai cara dan pendekatan mengikut kebijaksanaan. Guru perlu memahami keupayaan murid masing-masing. Di sini saya nyatakan pandangan saya, bagaimana teknologi komputer dapat membantu mengatasi masalah pengajaran di bilik darjah;


3.1 Pengurusan Bilik Darjah dan Masalah Disiplin Murid

Seperti yang dinyatakan bahawa pengurusan bilik darjah yang berkesan akan membantu murid menerima pelajaran secara berkesan. Bagaimana teknologi komputer dapat membantu guru dalam pengurusan bilik darjah? Dengan bantuan komputer guru dapat menceriakan kelas, guru akan dapat membuat jadual kelas, jadual tugas murid, senarai nama murid, biodata murid menggunakan perisian-perisian daripada microsof. Guru juga dapat memuat turun info-info daripada internet untuk dipamerkan di sudut keceriaan. Guru dapat menggunakan kreativiti untuk membuat bahan yang menarik.

Masalah bising kebiasaannya terjadi apabila guru gagal mengawal kelas dan juga kerana aktiviti yang dijalankan tidak menarik. Dengan menggunakan teknologi komputer guru akan sentiasa mempunyai bahan untuk disajikan kepada murid. Guru boleh memuat turun bahan daripada internet.
 

3.2 Murid Tidak Membawa Buku dan Kekurangan Bahan Rujukan
 

Teknologi komputer sangat membantu guru dalam situasi ini. Guru perlu mengambil kira bahawa kebarangkalian murid tidak membawa buku teks pada sesi pengajaran akan berlaku. Guru perlu membuat persiapan dengan scan (mengimbas) muka surat yang akan diajar. Semasa sesi pengajaran guru akan mempamerkan pada skrin menggunakan LCD projector. Dengan cara ini murid yang tidak membawa buku teks tiada alasan untuk tidak memberi perhatian. Di samping menggunakan buku teks, suasana pembelajaran akan menjadi lebih menarik sekiranya digabungjalinkan dengan penggunaan internet. Ini akan membantu murid mencari maklumat yang diperlukan dengan pantas. Penggunaan internet dalam bilik darjah akan memberi ruang dan peluang kepada murid meneroka ilmu dengan lebih meluas mengikut kesesuaian masa dan kelapangan murid.

Teknologi komputer digunakan untuk mempersembahkan maklumat, mengendali maklumat dan komunikasi data.Teknologi komputer diciptakan sebagai alat bantu untuk mengubah data dalam jumlah besar. Dalam pendidikan sains, teknologi dianggap sebagai alat pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kerana kelebihannya mempercepatkan pembelajaran dan keupayaanya meningkatkan pemahaman pelajar tentang tajuk yang dipelajari serta membantu guru dalam pengajaran. Penggunaan internet sangat penting dalam mencari maklumat. Guru perlu memanfaatkan sepenuhnya. Guru dapat membantu murid mencari bahan-bahan rujukan daripada internet. Semasa menjalankan aktiviti guru perlu memberi ruang dan peluang kepada murid untuk meneroka internet untuk mencari maklumat. Penggunaan Komputer dalam pengajaran dan pembelajaran serta mengaplikasikan internet dalam mencapai maklumat akan membantu penerokaan ilmu yang lebih menarik. Internet adalah alat yang mudah dikendalikan dan boleh membantu guru serta pelajar mencari dan memanfaatkan maklumat. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, internet diperlukan bagi menjana lebih banyak bahan yang dapat membantu pembelajaran.

 

3.3 Kesilapan Langkah-langkah Pengajaran dan Bahan Bantu Mengajar  yang Tidak Menarik

Penggunaan teknologi komputer juga dapat membantu guru dalam mengatasi masalah ini. Guru perlu rajin dan menjadi mesra komputer. Guru perlu kreatif menggunakan perisian-perisian Microsoft yang ada. Guru boleh menggunakan komputer untuk mempamerkan maklumat supaya dapat dilihat oleh murid seperti menggunakan pemprosesan perkataan (Microsoft Word), membuat persembahan (Microsoft Power Point), membuat kiraan (Excel) dan sebaginya.Pemahaman murid akan menjadi lebih mudah apabila melihat gambar.

Gunakanlah segala perisian Microsoft seperti word, excel, power point dan lain-lain dalam usaha membantu membina Bahan Bantu Mengajar (BBM). Memuat turun fakta-fakta, info dan gambar dari internet sebagai BBM. BBM yang menarik sangat membantu menarik perhatian murid.
 

4.0 RUMUSAN

Penggunaan teknologi komputer perlulah terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Kefahaman murid terhadap pelajaran dapat ditingkatkan. Teknologi komputer akan dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi murid serta meningkatkan kemahiran ICT. Penggunaan teknologi komputer dapat memberi peluang murid belajar secara berkesan dengan bimbingan yang minimum dan yang paling penting dapat membantu guru dalam mengatasi masalah pengajaran di bilik darjah.

 

(1) Noraini Idris , Pedagogi dalam pendidikan matematik- Utusan Publications, 2005 -ms 94
(2) Sufean bin Hussin, Pentadbiran dalam Pembangunan Pendidikan, PTS Professional 2005 -ms38
 
 
RUJUKAN
Abdullah Sani bin Yahaya, Mengurus Sekolah, PTS Professional Publishing Sdn Bhd, 2003
Mohd Aizaini Maarof, Teknologi Maklumat Siri I : Sistem Komputer dan Perisian, Penerbit UTM, 2004.
Noraini Idris , Pedagogi dalam pendidikan matematik- Utusan Publications, 2005
Sufean bin Hussin, Pentadbiran dalam Pembangunan Pendidikan, PTS Professional 2005
K.A Razhiyah, Mengapa Kanak-Kanak Sukar Belajar, PTS Professional, 2006
Tuan Mohd Fadlan Bin Tuan Jaafar, Kerjaya Sebagai Guru, PTS Professional, 2006

Tiada ulasan:

Catat Ulasan