Muqadimah

Ahad, 13 September 2015

WARNA BERPERANAN DALAM MENJELASKAN EKSPRESI PELUKIS TERHADAP BUDAYA MASYARAKAT, PERSEKITARAN DAN WARISAN BANGSA

 
 
EKSPRESI

Di dalam Kamus Dewan Edisi ke-3 pada halaman 330 menyatakan ekspresi bermaksud pelahiran maksud (perasaan dsb) dengan kata-kata (gerak-geri, dll). Puan Jamilah Omar di dalam bukunya Kreativiti dan Ekspresi Seni Visual pada halaman 133 menyatakan ekspresi adalah ‘sesuatu yang dikeluarkan’ seperti cairan gula yang dikeluarkan tatkala tebu diperah.

Seni merupakan ekspresi perasaan dan fikiran. Seni baru lahir apabila perasaan itu menjadi pengalaman. Kemampuan menguasai perasaan dan menyeimbangkannya dipandang sebagai keistimewaan besar dan sifat yang menjadikan pemiliknya mampu meraih keberhasilan dalam hidupnya. Perasaan mengatur kumpulan beberapa emosi yang berkisar pada satu objek atau orang tertentu, yang diiringi pengalaman yang menyenangkan ataupun tidak. Dengan begini, maka perasaan dianggap satu sifat gabungan yang dapat  diupayakan.
Perasaan yang dapat dikuasai terbahagi kepada perasaan fitrah seperti rasa cinta dan benci. Perasaan itu dikategorikan sebagai sesuatu yang muncul secara spontan dan merupakan bias bagi sebuah kejadian yang mereka temui dalam kehidupan mereka.
Perasaan adalah sesuatu yang realiti, yang melahirkan reaksi terhadap apa yang dilakukan dan dikatakan oleh orang lain terhadap kita. Pengaruh perasaan berbeza antara satu orang dengan orang yang lain, akibat adanya perbezaan susunan keperibadian dan dimensi garis keperibadiannya.
Dalam seni, perasaan harus dikuasai, perasaan perlu ditakluk, perasaan harus dikawal terlebih dahulu malah perasaan perlu dijadikan objek, perlu diatur, dikelola dan diwujudkan atau diekspresikan dalam karya seni.
Ekpresi dalam seni adalah mencurahkan perasaan tertentu dalam suasana gembira. Seorang pelukis atau seniman akan menghasilkan karyanya dalam suasana yang menyenangkan jiwanya, dalam perasaan gembira, dan dalam suasana yang menyenangkan perasaannya. Perasaan marah atau sedih dalam ekspresi seni juga harus dikeluarkan pada waktu pelukis atau senimannya sedang dalam keadaan selesa, dalam keadaan tenang, dalam keadaan jiwa tidak lara.
Seni juga merupakan ekspresi nilai, baik nilai esensi, nilai kognitif, dan nilai kualiti mediumnya. Nilai-nilai itu ada dalam diri seniman sebagai pengalaman nilai masa lampaunya. Nilai-nilai inilah yang menentukan isi, makna, substansi dari seni.
 
WARNA

Kehadiran warna mampu memberikan pengaruh terhadap kehidupan kita. Warna dapat memberikan kesan, suasana, dan mempengaruhi perasaan seseorang. Warna dapat membuat perasaan menjadi ceria, meningkatkan semangat, meningkatkan konsentrasi,  dan sebagainya.
Dalam warna terdapat warna yang boleh mewujudkan suasana yang harmoni, kontra, sejuk, panas dan sebagainya.
 

 

Secara psikologi setiap warna memberikan pengaruh terhadap rasa, perilaku, dan sebagainya. Warna sejuk banyak terinspirasi dari dinginnya air, sejuknya awan dan pemandangan serta segarnya daun. Warna sejuk terdiri dari empat warna iaitu hijau, biru, ungu, dan merah jambu (pink).  

Warna-warna hangat cenderung panas dan memberikan perasaan semangat, menaikkan degupan jantung dan juga mempengaruhi perilaku manusia. Warna panas terdiri dari tiga warna iaitu merah, kuning dan jingga. Ketiga-tiga warna terseabut ada pada api sehingga kesan yang dimunculkan adalah panas atau hangat.

BAGAIMANA WARNA BERPERANAN DALAM MENJELASKAN EKSPRESI PELUKIS  TERHADAP BUDAYA MASYARAKAT, PERSEKITARAN DAN WARISAN BANGSA


Terdapat banyak aspek yang menunjukkan hubungan akrab antara manusia dengan warna secara sedar ataupun tidak. Warna-warna turut berkembang sejak bermula peradaban manusia daripada cara aplikasinya sama ada daripada sudut seni, pakaian, agama, falsafah, budaya, perayaan dan sebagainya yang meliputi setiap segi kehidupan manusia. Antara contoh mudah ialah hubungan manusia dengan warna pada pakaian. Setiap warna mempunyai fungsinya. 

Untuk mengetahui bagaimana warna berperanan dalam menjelaskan ekspresi pelukis  terhadap budaya masyarakat, persekitaran dan warisan bangsa beliau maka kita perlulah mengenali terlebih dahulu latar kehidupan pelukis tersebut. Saya mengambil contoh seni karya Jainal Amambing.
 
Jainal Amambing dilahirkan di kampong Rukom Darat, Kudat, Sabah. Beliau berasal daripada suku kaum Rungus. Rungus merupakan salah satu dari suku kaum di Sabah dan juga merupakan salah satu penduduk asli kepulauan Borneo. Rungus biasanya dikenali sebagai Dayak Dusun Rungus,Momogun, Momogun Rungus, Momogun Laut, Dusun Laut atau Rungus. "Rungus" berasal dari perkataan Rungsud iaitu nenek moyang suku kaum Rungus yang berhijrah dari kawasan Nunuk Ragang ke pesisiran pantai di Semenanjung Kudat, Teluk Marudu, Pitas, Beluran dan Telupid.

 

 Karya Jainal Amambing

 
Dalam lukisan-lukisannya, Jainal Amambing banyak menggunakan warna-warna yang dikategorikan sebagai warna sejuk. Beliau mengekspresikan warna sejuk seperti hijau, biru, ungu dan merah jambu. Warna-warna ini dipilih kerana pengaruh dalam kehidupannya. Beliau mengekpresikan warna sejuk yang lebih kepada ekspresi alam.

Walau bagaimanapun, beliau juga menerapkan penggunaan warna panas. Beliau mengekspresikan warna dengan penuh emosi. Beliau mengekspresikan bahawa kanak-kanak akan mentafsirkan warna berdasarkan apa yang dilihat. Contohnya, air dan langit berwarna biru, tanah berwarna perang, pokok berwarna hijau, pakaian terdiri daripada pelbagai aneka warna dan sebagainya.

Beliau menggunakan warna hijau kerana warna hijau mampu membangkitkan perasaan kehidupan, sesuatu yang subur, sejuk,toleran, harmonis, stabil, tenang, damai, ringan dan sejahtera. Warna hijau mempunyai beberapa varian, hijau muda yang banyak mengandungi warna kuning memberikan kesan segar dan ringan sementara warna hijau tua yang mengandungi banyak warna biru memberikan kesan sejuk. Ekspresinya digambarkan secara realiti bahawa warna hijau menggambarkan alam contohnya rumput dan pokok berwarna hijau.

Warna biru dapat dikaitkan dengan ruangan angkasa dan air. Dalam kehidupan, warna biru serupa dengan bentangan luas tidak terbatas seperti langit dan laut. Warna biru mempunyai banyak varian, biru muda, biru tua, biru keunguan dan sebagainya.
Beliau mengkspresikan warna biru mempunyai karakter, dingin, damai, tenang, indah, diam dan dalam. Secara reality beliau mengekspresikan warna biru dengan air. Warna biru adalah warna pilihan bagi kebanyakan orang. Secara realitinya, sememangnya kanak-kanak akan menggunakan warna biru sebagai perlambangan air. Warna biru mampu menciptakan suasana tenang, diam dan refleks. Warna biru dapat menaikkan kharismatik, kebijaksanaan, dan kematangan bagi seseorang.

Warna ungu merupakan warna dingin yang memberikan kesan lembut, menyenangkan, dan menimbulkan sifat-sifat kewanitaan. Dalam satu lukisannya beliau menggunakan warna ungu sebagai langit. Dalam lukisan ini beliau menggunakan warna ungu untuk langit sebagai mengekspresikan karekter kanak-kanak yang sememangnya lembut, feminism dan penyayang.
 
Beliau juga menggunakan warna merah jambu (pink). Ini kerana warna merah jambu sering dikaitkan dengan warna feminin, warna kelopak bunga, romantik, sesuatu yang halus dan lembut. Warna merah adalah warna paling panas dan memiliki gelombang warna paling panjang sehingga warna inilah yang paling cepat tertangkap oleh mata. Warna merah biasanya warna pertama kali yang dikenali anak-anak kerana warnanya menarik bagi mereka. warna merah atau elemen api maknanya sesuatu yang panas ,kegairahan ,keceriaan ,berani, semangat, beremosi dan sebagainya. 

Warna jingga memberikan kesan optimis, menebarkan tenaga, jiwa muda, dan kreatif. Warna jingga merupakan warna yang menarik kerana dalam lingkaran warna terletak diantara merah yang panas dan kuning yang lembut kehangatannya. Warna jingga dapat memecahkan kelakuan pada ruangan dan menambah suasana persahabatan, dan melunakkan warna-warna lainnya.
 
Warna kuning membangkitkan suasana gembira dan menyenangkan. Warna kuning memiliki kesan yang kuat dan sangat efektif untuk orang yang lambat dalam berfikir. Warna kuning dapat memberikan motivasi dan menaikkan kecerdasan dan kepercayaan diri.Warna kuning dapat membantu dalam menghadapi rasa takut, depresi, memberikan kehangatan, dan pemulihan psikologis. Warna kuning membangkitkan suasana gembira dan menyenangkan.
 
RUJUKAN:
Ø  Pn. Jamilah Omar,Kreativiti dan Ekspresi Seni Visual, UPSI, 2013.
Ø  Azhar Abd. Hamid, Mohd. Koharuddin Balwi, Mohammad Fauzi Othman & Othman A. Kassim, Rekacipta 
  &Inovasi Dalam Perspektif Kreativiti, UTM, 2006,
Ø  Mir Hazil Azran Ramli, Aura Personaliti Warna, PTS Millenia Sdn Bhd, 2008
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan