Muqadimah

Rabu, 11 November 2015

Wahyu Allah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

 
Alhamdulillah aku bersyukur ke hadrat-Nya kerana mempertemukan aku dengan saudara Edison Casanova di alam maya. Aku terpanggil untuk menjawab persoalan-persoalan yang dikemukannya dalam entri Apa Jawapan Sekiranya Soalan Pelik Ditanya? Aku bersyukur kerana dengan persoalan-persoalan yang dikemukakannya memberi peluang kepadaku untuk mentelaah kitab al-Quran dan rujukan berkenaan Islam. Ya, baru aku tersedar bahawa persoalan Edison Casanova ini mempunyai perkaitan dengan firman Allah dalam surah Al Ankabut ayat ke 2 iaitu:

 Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan berkata: “Kami beriman,” dan mereka tidak diuji?

 
Dan aku menganggap persoalan Edison Casanova ini merupakan satu ujian kepadaku untuk memahami agamaku. Ujian ini kelihatan seakan remeh tetapi sukar untuk menjawabnya. Satu persoalan yang mencabar bagiku. Ya, sememangnya Allah sedang mengujiku melalui persoalan Edison Casanova. Dalam al-Quran, surah Al Maidah ayat ke 48, Allah berfirman ;

 


Dan Kami telah turunkan kepadamu (Muhammad) al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan sebagai saksi terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah hukuman antara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk setiap umat di antara kamu, Kami berikan peraturan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan. Hanya kepada Allah lah kamu akan kembali semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.

 

Orang Islam perlu beriman. Di dalam Islam, iman bermaksud percaya, yakin dan membenarkan. Kepercayaan yang terbitnya daripada hati seseorang iaitu mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah benar dan datangnya daripada Allah.

 
Orang Islam perlu mempercayai 6 rukun Iman iaitu;
1.        Percaya kepada Allah
2.       Percaya kepada Malaikat
3.      Percaya kitab-kitab
4.      Percaya kepada rasul-rasul
5.      Percaya kepada hari kiamat, dan
6.      Percayakan Qada’ dan Qadar.

 
Saudara Edison Casanova,

 
Wahyu mula diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w di Gua Hira ketika baginda berusia 40 tahun. Sejak itu, proses penurunan wahyu berlaku secara berperingkat-peringkat. Allah mengutuskan malaikat Jibril sebagai pembawa wahyu kepada Nabi Muhammad yang mana wahyu ini mengandungi panduan, pengajaran, pendidikan dan pengetahuan dalam semua aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

 Allah berfirman dalam surah An Najm ayat ke 10 iaitu;
 

Lalu disampaikan wahyu kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah diwahyukan Allah.

 
Wahyu Allah itu sahih sepanjang perjalanan dalam kehidupan. Daripada 6236 ayat al-Quran, ¾ daripadanya mengandungi kisah-kisah umat masa lalu. Iaitu kisah manusia-manusia yang hidup pada era kenabian (era wahyu diturunkan).

Proses penurunan wahyu yang berlaku selama 23 tahun 6 bulan seiring dengan pelbagai peristiwa serta kehidupan manusia-manusia pada zaman Rasulullah s.a.w juga sesuai dengan kehidupan manusia-manusia kotemporari.

 Allah berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 119:
 

Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan dan kamu tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang penghuni-penghuni neraka.

 

 
Saudara Edison Casanova,

 
Wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad itu adalah benar.

Allah berfirman:

 

Itulah sebahagian hikmah yang diwahyukan Tuhan kepadamu (Muhammad). Dan janganlah kamu mengadakan Tuhan yang lain disamping Allah, yang menyebabkan kamu dilemparkan ke dalam neraka dalam keadaan tercela dan dijauhkan (daripada rahmat Allah). – Al Isra 39.

 

Katakanlah: “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku adalah: “Bahawasanya Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu berserah diri (kepada-Nya). – Al Anbiya’ 108

 

 

Saudara Edison Casanova,

 
Bagaimana seorang manusia (Nabi Muhammad) yang hidup kira-kira 1400 tahun dahulu boleh mengetahui sejarah atau kisah-kisah kehidupan manusia yang hidup sebelumnya. Sedangkan kita sendiri tahu bahawa Rasulullah adalah seorang yang tidak tahu membaca. Dan kita juga tahu pada era itu amatlah terbatas akses ilmu pengetahuan. Bagaimana beliau (Rasulullah) boleh mengetahui kisah-kisah nabi-nabi dan rasul terdahulu?

 
Saya bertanyakan saudara dan saya juga memberikan jawapan dalam konteks kitab suci Al-Quran:

 

1.        Bagaimana Nabi Muhammad boleh mengetahui kisah Maryam ibu Isa a.s?

Dalam al-Quran, Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 44 yang bermaksud;

 

Yang demikian itu adalah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepada kamu (ya Muhammad), padahal kamu tidak hadir disisi mereka ketika mereka melemparkan anak-anak panah mereka (untuk mengundi) siapa di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan kamu tidak hadir di sisi mereka ketika mereka bersengketa.

 

2.       Bagaimana kisah hidup Nabi Yusuf juga boleh diketahui Rasulullah?

Allah berfirman dalam surah Yusuf ayat 102 yang bermaksud:

 

Demikian itu (adalah) di antara berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): padahal kamu tidak berada di sisi mereka, ketika mereka memutuskan rancangannya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam perigi) dan mereka sedang mengatur tipu daya.

 

3.      Bagaimana Muhammad meyakini wahyu Allah diperturunkan kepada rasul-rasul yang lain?

Allah berfirman dalam surah An Nisa ayat 163, 164 dan 165;

 

Sesungguhnya Kami telah mewahyukan kepadamu (Muhammad) sebagaimana Kami telah mewahyukan kepada Nuh dan nabi-nabi selepasnya. Dan Kami telah mewahyukan (pula) kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan keturunannya; Isa, Ayub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan juga Kami telah memberikan kitab Zabur kepada Daud. – An-Nisa 163.

 

Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu sebelum ini dan ada beberapa rasul (lain) yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan dengan Musa, Allah berfirman secara langsung. – An-Nisa 164.

 

Rasul-rasul itu merupakan pembawa berita gembira dan pemberi peringatan , agar tidak ada alasan bagi manusia untuk membantah Allah setelah rasul-rasul itu diutus. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. – An-Nisa 165.

 

4.      Al Quran membenarkan kitab-kitab sebelumnya.

Allah berfirman dalam surah Faatir ayat ke 31.

 

Dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) iaitu Kitab (al-Quran) itulah yang benar, membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Mengetahui, lagi Maha Melihat (keadaan) hamba-hambaNya.

 

Oleh kerana itu, al Quran meliputi semua kitab-kitab terdahulu dan ahli-ahli kitab perlu mempercayai dan beriman dengan al Quran.

 

 

Saudara Edison Casanova,

 

Nabi Muhammad adalah rasul terakhir. Kaji dan fahami Bible anda. Wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah melalui malaikat Jibril adalah wahyu kepada Rasul akhir zaman. Rasul terakhir dan tiada lagi rasul selepasnya.

 

Dalam al-Quran surah Al An’am ayat ke 19 Allah berfirman;

 

Katakanlah: “Siapakah yang lebih kuat kesaksiannya?’ Katakanlah: “Allah.”

Dia menjadi saksi antara aku dan kamu. Al-Quran ini diwahyukan kepadaku supaya dengannya aku memberi peringatan kepada kamu dan kepada orang yang sampai al-Quran (kepadanya). Apakah sesungguhnya kamu mengakui bahawa ada tuhan-tuhan yang lain di samping Allah?” Katakanah: “Aku tidak mengakui.” Katakanlah: “Sesungguhnya Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dan sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan (dengan Allah).

 

Dan juga surah Al An’am ayat ke 50 iaitu;

 

Katakanlah: “Aku tidak mengatakan kepadamu bahawa perbendaharaan Allah ada padaku dan tidak pula aku mengetahui yang ghaib dan tidak (pula) aku mengatakan kepadamu bahawa aku adalah malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku.” Katakanlah: “Apakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat? Maka apakah kamu tidak memikirkannya?”.

 

 

Saudara Edison Casanova,

 

Sekiranya anda pengkaji Bible atau penganut agama selain Islam sama ada anda tahu atau pura-pura tidak tahu, percayalah bahawasanya umat Islam amat mempercayai wahyu Allah diperturunkan kepada Nabi Muhammad.

 

Dalam al-Quran, Allah berfirman:

 

Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) : “Ikutilah agama Ibrahim, seorang yang hanif.” Dan bukanlah dia termasuk orang yang mempersekutukan Tuhan. - An Nahl 123.

 

Dan ikutlah apa yang diwahyukan Tuhanmu kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. – Al Ahzab 2.

 

Dan ikutlah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu (al-Quran) daripada Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu secara mendadak, sedang kamu tidak menyedarinya. – Az Zumar 55.

 

Saudara Edison Casanova,

 

Dan aku yakin sepertimana yang dinyatakan dalam al-Quran mengenai manusia-manusia yang mencari alasan untuk tidak beriman dengan Allah. Allah telah berfirman dalam surah Al An’am ayat ke 7, 8 dan 9 iaitu;

 

Dan kalau Kami turunkan kepadamu tulisan di atas kertas, lalu mereka dapat memegangnya dengan tangan mereka sendiri, tentulah orang yang kafir itu berkata: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata.” – Al An’am 7.

 

Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) malaikat?” Dan kalau Kami turunkan (kepadanya) Malaikat, tentu selesailah urusan itu, kemudian mereka tidak diberi tangguh (sedikitpun). – Al An’am 8.

 

Dan kalau Kami jadikan Rasul itu (daripada kalangan) Malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa lelaki dan (jika Kami jadikan dia berupa lelaki) Kamipun akan jadikan mereka tetap ragu sebagaimana kini mereka ragu. – Al An’am 9.

 

(Kalau Allah mengutuskan Malaikat sebagai rasul, tentu Allah mengutusnya dalam bentuk seorang manusia kerana manusia tidak dapat melihat malaikat dan tentu juga mereka akan berkata: “Ini bukanlah malaikat, hanyalah manusia seperti mana kami juga,” jadi mereka akan tetap ragu-ragu).

 

Juga di dalam surah Al Anbiya’ ayat 45 dan surah Fussilat ayat ke 6 iaitu;

 

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanya memberi peringatan kamu sekalian dengan wahyu (al-Quran yang diturunkan Allah kepadaku) dan sudah tentu orang yang tuli tidak dapat mendengar seruan, apabila mereka diberi peringatan.” – Al Anbiya’ 45.

 

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu tetaplah kamu (beribadat) kepadaNya dan mohonlah keampunan kepadaNya. Dan celakalah bagi orang yang mempersekutukan(Nya). – Fussilat 6.

 

 

Saudara Edison Casanova,
 

Yakinilah al-Quran sekiranya anda mempercayai Allah yang Esa. Allah berfirman dalam surah Al Ankabut ayat ke 45 iaitu;

 

Bacalah kitab (al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan laksanakan solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) mengingati Allah (solat) itu lebih besar (keutamaannya daripada ibadah yang lain). Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

  

Juga di dalam surah Asy Syura ayat ke 52 iaitu;

 

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) roh (al-Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya engkau tidak mengetahui apakah Kitab (al-Quran) dan apakah iman itu, tetapi Kami jadikan al-Quran itu cahaya, dengan itu Kami memberi petunjuk kepada siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau benar-benar membimbing (manusia) kepada jalan yang lurus.

 

Surah An Najm ayat ke 4:

 

Tidak lain (al-Quran itu) adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).

  

Saudara Edison Casanova,

 

Sifat-sifat Rasul (Muhammad) dalam Taurat dan Injil juga telah dinyatakan dalam al Quran. Allah berfirman;
 

(Iaitu) orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada disisi mereka, (dia) menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka daripada mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka bebanan dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran); mereka itulah orang yang beruntung. – Al A’raf 157.

 
Dan juga Allah berfirman;
 

Dan (Ingatlah) ketika Isa putera Maryam berkata: “Wahai Bani Israel! Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, yang membenarkan kitab (yang turun) sebelumku, iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan kedatangan seorang rasul yang akan datang setelahku, yang namanya Ahmad (Muhammad).” Namun ketika Rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata “Itu adalah sihir yang nyata.” – As Saff 6

 

Saudara Edison Casanova,


Sekiranya benar kamu ahli kitab, sudah tentu dalam pengetahuanmu akan kerasulan Muhammad bin Abdullah adalah rasul terakhir. Allah berfirman dalam surah:
 

Dan setelah datang kepada mereka al-Quran dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang kafir, maka setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, lalu mereka ingkar kepadanya. Maka laknat ke atas orang yang ingkar itu. – Al Baqarah 89.

 

Orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenali Muhammad seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahuinya. – Al Baqarah 146.

 

Orang yang telah Kami berikan Kitab kepadanya, mereka mengenalinya (Muhammad) seperti mereka mengenali anak-anaknya sendiri. Orang yang merugikan diri sendiri, mereka itu tidak beriman (kepada Allah). – Al An’am 20.

  

Saudara Edison Casanova,

 Banyak perkara yang ingin kuhujahkan, namun cukuplah setakat ini sahaja. Aku yakin dengan hujah yang aku kemukakan kerana aku berpandu kepada sumber yang benar, sumber yang terpelihara kalimahnya iaitu Al-Quran. Oleh itu aku bersedia dengan persoalan-persoalanmu. Semoga Allah membuka pintu hidayahnya kepadamu.

 

1 ulasan:

  1. Salam saudara..maaf krna bru mlm ni terlihat sanggahan yg saudara berikan.Aku berpuas hati kerna jwpn panjang lebar saudara mmuaskan.Boleh saudara jelaskan mengapa agama kristian "tidak layak" untuk diimani?

    BalasPadam